PETALING JAYA: Bengang dengan sikap talam dua muka, pelakon Datin Elvina Mohamad pelik bagaimana seorang individu yang dikenali sanggup berpura-pura baik dengan sahabatnya, meskipun pernah mengutuk dan membenci rakannya itu sebelum ini.
Elvina atau Norzalina Mohamad, 31, berkata, sikap tersebut disifatkannya sebagai berpura-pura kerana individu terbabit sebelum ini pernah mengutuk dan menyatakan rasa benci terhadap rakan baiknya itu.
Sikap pelik yang ditunjukkan oleh individu berkenaan nyata mengundang rasa kurang senang pelakon drama Takdir Yang Tertulis itu selepas dia sendiri bertindak memutuskan hubungan dengan individu berkenaan.
“Adakah anda semua pernah mengenali individu yang mempunyai perangai seperti ini? Dulu dia pernah cakap yang dia tidak menyukai seseorang itu, malah siap kutuk lagi.
“Dan orang yang dia kutuk itu adalah kawan saya. Tapi, selepas saya memutuskan hubungan dengannya, tiba-tiba apabila dia terserempak dengan kawan saya itu di sebuah majlis, dia beria-ria mengajak bergambar sekali,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Perkongsian daripada ibu kepada dua cahaya mata itu dipercayai merujuk kepada tindakan seorang bekas kenalan rapatnya, namun Elvina memilih untuk tidak mendedahkan identiti sebenar individu atau rakan baik yang dimaksudkan itu.
Untuk rekod, Elvina atau nama sebenarnya Norzalina Mohamad, 31, mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Datuk Mohd. Haniff Borhan pada Mac 2018.
Hasil perkongsian hidup tersebut, pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Karl Mateen, 6, dan Ean Umar yang kini berusia tiga tahun.










