PH Melaka serah kepada Ketua Menteri lantik Exco

PH Melaka serah kepada Ketua Menteri lantik Exco

ADLY ZAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pakatan Harapan (PH) Melaka yakin pembentukan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) itu yang baharu mampu membentuk kestabilan terbaik demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyatnya.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata, gabungan tersebut mendukung sepenuhnya pentadbiran kerajaan negeri yang baharu.

“Pelantikan Exco, saya serahkan kepada Ketua Menteri kerana itu kuasanya. Saya fikir aspirasi saya dalam Exco yang akan dilantik itu adalah menggambarkan kerajaan Perpaduan yang dibentuk di Melaka.

“Itu komitmen PH Melaka dan kerjasama kita dengan Barisan Nasional (BN). Jadi, kita yakin asas kerajaan ini adalah kerajaan Perpaduan, untuk bentuk kestabilan kerana kita yakin kestabilan dan kerjasama yang baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan teras terbaik kepada kemakmuran dan kesejahteraan rakyat,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Masrizal Ishak, 42, di Kampung Masjid Hujung, Hutan Kampung dekat sini yang terlantar akibat penyakit lupus (SLE).

Dalam perkembangan lain, Kementerian Pertahanan melalui program Inisiatif Perumahan Veteran ATM meluluskan sebanyak 121 permohonan baik pulih rumah veterannya sehingga Mac lepas.

Menurut Adly, sebanyak 170 rumah disasar untuk dibaik pulih dan 40 rumah untuk dibina baharu sepanjang tahun ini kepada golongan berkenaan.

“Ia melebihi petunjuk prestasi utama (KPI) 100 hari kementerian yang mensasarkan 100 permohonan. Dari segi program perumahan ini kita berusaha untuk pastikan dalam tempoh ini kita sediakan projek perumahan melibatkan bina rumah baharu dan baik pulih rumah,” katanya.

Tambah beliau, melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, kementerian turut menyalurkan bantuan sara hidup (BSH) kepada golongan berkenaan sebanyak RM300 sebulan dalam usaha meringankan beban mereka.

“Baru-baru ini kementerian luluskan perluasan BSH dengan penambahan bilangan penerima iaitu sebanyak 6,000 orang. Ianya memberi tumpuan kepada veteran berumur 80 tahun ke atas yang layak di mana bantuan ini akan diberikan kepada mereka tanpa perlu melalui proses permohonan. 

“Perluasan ini akan meningkatkan jumlah penerima BSH kepada 15,000 orang setahun dengan jumlah peruntukan yang akan disalurkan oleh kerajaan sebanyak RM54 juta setahun,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau meminta semua veteran ATM yang masih belum mendaftar dengan JHEV untuk berbuat demikian bagi membolehkan kebajikan mereka terjaga memandangkan terdapat kira-kira 100,000 veteran yang belum berdaftar dengan jabatan itu ketika ini.  –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya