KUALA LUMPUR: Tindakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh meletak jawatan Exco Kerajaan Negeri Melaka merupakan keputusan peribadi beliau.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu tidak menjejaskan kerjasama dalam parti atau kerajaan negeri.
Katanya, keputusan itu telah dimaklumkan kepada beliau serta Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
“Dr. Akmal telah berbincang dengan saya dan Datuk Seri Rauf dan saya menghormati pendirian beliau untuk melepaskan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka.
“Mungkin dengan keputusan itu, beliau mempunyai masa dan ruang yang lebih luas untuk turun ke akar umbi, khususnya ke bahagian Pemuda kerana kita mempunyai 191 bahagian Pemuda.
“Itu hak peribadi beliau. Beliau tahu apa yang beliau lakukan. Saya tidak fikir ini satu tekanan,” katanya selepas menghadiri Perjumpaan Khas bersama Perwakilan Pelajar Kelab UMNO Luar Negara dan Majlis Pelancaran Logo Baharu Kelab UMNO Luar Negara di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, semalam.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, beliau akan mendapatkan penjelasan Dr. Muhamad Akmal berhubung kenyataan pemimpin itu yang menyatakan akan mengkritik pihak tertentu secara lebih lantang selepas melepaskan jawatan Exco Kerajaan Negeri Melaka.
“Saya ingin tahu (dakwaan serangan) daripada beliau nanti. Saya akan jumpa dengan beliau, bila nak serang dan siapa dalam perkara ini,” katanya.
Beliau mengulas Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO itu yang menggesa kepimpinan tertinggi parti meneliti kembali keputusan untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata:
“Itu cadangan dan saranan. Keputusan muktamad adalah daripada kepimpinan atasan UMNO, khususnya Majlis Tertinggi. Beliau boleh kemukakan pandangan itu dalam mesyuarat Majlis Tertinggi akan datang,” katanya. – UTUSAN










