Peniaga terima tempias populariti 'Dominic Toretto'

Peniaga terima tempias populariti ‘Dominic Toretto’

MOHAMED Ahmed Mahmoud Shokr menyediakan makanan jualannya di Bazar Ramadan di Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang peniaga kunafa di Bazar Ramadan Jalan Padi Mahsuri di Bandar Baru Uda, di sini tidak kisah disamakan dengan watak Dominic Toretto lakonan pelakon antarabangsa, Vin Diesel dalam siri filem Fast and Furious.

Malah, Mohamed Ahmed Mahmoud Shokr, 39, mengakui teruja apabila ramai pelanggannya meminta bergambar bersama setelah mereka membeli juadah yang dijualnya.

Katanya, persamaan antara mereka turut membantu meningkatkan jualannya sempena Ramadan tahun ini.

“Saya menonton semua filem aksi Fast and Furious dan sangat mengagumi bakat aktor Amerika Syarikat itu, tetapi tidak sangka pula ramai kata wajah saya seiras pelakon terkenal tersebut sehingga tular dalam media sosial.

“Syukur dan gembira kerana saya rasa itu adalah antara rezeki saya berniaga di sini. Alhamdulillah jualan harian mencecah antara RM400 hingga RM600 setiap hari,” katanya yang berasal dari Mesir.

Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, dia boleh bertutur dalam bahasa Melayu setelah berada di negara ini sejak tahun lalu, namun masih kurang fasih.

“Ini kali pertama saya menyertai Bazar Ramadan di negara ini. Alhamdulillah sambutan sangat baik, orang ramai semua baik-baik dan suasana perayaan amat dirasakan,” jelasnya.

Menurutnya, dia hadir ke negara ini untuk bekerja sebagai jurulatih kick boxing di Johor Bahru.

Terdahulu, tular beberapa keping gambar beserta video berdurasi 14 saat memaparkan seorang lelaki botak dan bertubuh sasa sambil memakai baju berkolar putih ketat sedang menjual kunafa di sebuah gerai bazar berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×