KANGAR: Kerja-kerja pengerukan alur pelayaran bagi laluan feri penumpang dari Kuala Perlis ke Pulau Langkawi dijangka selesai sepenuhnya awal bulan depan.
Perkembangan itu sekali gus bakal menarik semula kehadiran pelancong yang ingin ke Langkawi menggunakan perkhidmatan feri dari terminal di sini selain tidak menjejaskan kehadiran pengunjung ke Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ‘23) pada Mei ini menggunakan perkhidmatan tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Kapten Baharin Baharom berkata, pada masa ini kerja-kerja pengerukan itu giat dilaksanakan dan hanya berbaki sekitar lima peratus untuk disiapkan.
Katanya, feri yang berada di pelabuhan juga akan dipindahkan keluar dari Terminal Penumpang Kuala Perlis sewaktu operasi perkhidmatan itu tamat pada setiap hari bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pengerukan dijalankan.
“Ini adalah bagi membolehkan kerja-kerja pengerukan yang sedang dijalankan ini dapat disiapkan mengikut jadual perancangan,” katanya.
Jelasnya, konsortium mempunyai pelan kecemasan sekiranya kerja-kerja pengerukan tidak dapat disiapkan mengikut perancangan sebagai persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
“Kita akan menyediakan trip tambahan melalui Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah ketika air laut di bawah 1.6 meter di Terminal Feri Penumpang Kuala Perlis.
“Selain itu feri keluar masuk di Terminal Penumpang Kuala Perlis akan diatur dengan kekerapan 30 minit setiap satu sewaktu air laut berada di atas paras 1.6 meter,” katanya. – UTUSAN