Pengampunan diraja: Jangan terburu-buru

Pengampunan diraja Najib: Jangan terburu-buru

ABU TALIB OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Pengampunan perlu mengambil kira empat kes lain yang dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak ketika ini bagi memastikan keputusan pengampunan diraja oleh Yang di-Pertuan Agong tidak dibuat dengan terburu-buru.

Ini kerana, jika bekas Perdana Menteri itu diampunkan dan kemudian didapati bersalah dalam kes lain sehingga beliau kembali ke penjara, ia menjadikan pengampunan yang diberikan terlebih dahulu menjadi sia-sia.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman menyifatkan, situasi itu tidak mustahil dan boleh berlaku. Malah perlu dijadikan pertimbangan penting dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan sebelum membuat keputusan.

“Itu…(jika berlaku) akibat keputusan Agong. Sebab itu, Perdana Menteri yang turut serta sebagai ahli Lembaga Pengampunan perlu menasihatkan, kes mana yang dirasakan sesuai bagi mendapatkan pertimbangan pengampunan dari Agong.

“Ahli-ahli lembaga lain bebas beri pandangan masing-masing, Agong juga mendengar pandangan semua ahlinya, tetapi pandangan Perdana Menteri sebenarnya carries a lot weight,” katanya ketika dihubungi.

Beliau yang berkhidmat selama 13 tahun sebagai Peguam Negara (1980-1993) memberi contoh bagaimana Tun Dr. Mahathir Mohamad memainkan peranan penting dalam melancarkan proses pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaik sahaja beliau menjadi Perdana Menteri pada 2018.

Ketika itu, Anwar mendapat pengampunan penuh tanpa syarat daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V selepas tiga tahun dalam penjara, seminggu selepas kerajaan persekutuan baharu dibentuk.

“Dr. Mahathir meminta pengampunan kepada Agong untuk Anwar dan beberapa hari kemudian, Anwar diampunkan terus. Jadi, pandangan Perdana Menteri amat penting walaupun kuasa pengampunan di bawah Agong,” katanya.

Kelmarin, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebulat suara bersetuju agar Najib diberi pengampunan diraja.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi akan menghadap Agong bersama pimpinan yang lain bagi menyampaikan hasrat partinya.

Tindakan itu dilihat tergesa-gesa oleh sesetengah pihak, namun Abu Talib menyifatkan, Lembaga Pengampunan perlu menetapkan tarikh untuk permohonan pengampunan bagi menyelesaikan isu tersebut.

“Dalam soal ini, pandangan Peguam Negara perlu diberi perhatian. Perlembagaan Persekutuan Perkara 42 sendiri menetapkan pertimbangan pendapat bertulis daripada Peguam Negara.

“Lembaga perlu tetapkan tarikh supaya ahli lembaga boleh memberi pandangan masing-masing termasuk pandangan Perdana Menteri,” katanya.

Dalam pada itu, pakar perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain menganggap proses pengampunan tetap termaktub kepada perlembagaan dan Agong bertindak atas nasihat Lembaga Pengampunan.

“Peguam Negara sediakan pendapat bertulis untuk pertimbangan Lembaga Pengampunan yang akan mengambil kira fakta mahkamah serta aspek-aspek lain.

“Sebagai contoh, dalam kes bunuh dan pesalah didapati bersalah, sultan akan merujuk kepada waris untuk proses pengampunan, jika waris ampunkan, maka sultan pun akan ampunkan, jadi ini terpulang kepada kebijaksanaan baginda,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN