Penduduk gesa baiki segera SK Perigi Acheh

Penduduk gesa baiki segera SK Perigi Acheh

PENDUDUK Kampung Perigi Acheh di Pasir Gudang meminta kerajaan menyegerakan proses membaik pulih SK Perigi Acheh bagi kemudahan anak-anak mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 120 murid yang menetap di Kampung Perigi Acheh, Pasir Gudang terpaksa menempuh perjalanan kira-kira 20 kilometer (km) untuk pergi dan balik dari sekolah.

Situasi itu terjadi disebabkan Sekolah Kebangsaan (SK) Perigi Acheh yang sebelum ini beroperasi di kampung berkenaan telah ditutup gara-gara bangunan kayunya sudah usang dan dikategorikan sebagai tidak selamat.

Seorang penduduk, Zamiah Md. Zam, 40, berkata, situasi itu dialami mereka sejak November 2021 apabila murid-murid yang bersekolah di SK Perigi Acheh diminta berpindah sementara ke SK Tanjung Langsat.

“Namun, apa yang dikesalkan, dalam tempoh dua tahun ini tiada langsung tanda-tanda kerja baik pulih dijalankan di SK Perigi Acheh. Penduduk di sini bukan orang senang, kebanyakannya nelayan, suri rumah serta bekerja kampung dan perkara ini amat membebankan apabila tambang bas sekolah dikenakan antara RM50 hingga RM60 sebulan bagi seorang murid,” katanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Keadaan itu menyebabkan majoriti ibu bapa menghantar sendiri anak-anak mereka, namun laluan yang terpaksa digunakan juga mencabar dan turut membahayakan keselamatan.
“Struktur jalan yang berlubang dan tidak rata ekoran ada pembinaan jambatan, selain keadaan air pasang besar di jalan utama yang menghubungkan Kampung Perigi Acheh dengan jalan besar memberi risiko keselamatan kepada kami serta anak-anak,” katanya yang mempunyai seorang anak berusia 11 tahun.

Seorang lagi penduduk, Salina Saad, 38, pula memberitahu, SK Perigi Acheh yang mula beroperasi pada 1999 sudah usang termasuk lantai papannya juga reput.

“Saya hantar dua orang anak berusia sembilan dan 11 tahun setiap hari menaiki motosikal sedangkan sebelum ini, di SK Perigi Acheh, mereka hanya berjalan kaki. Sepanjang perjalanan pergi dan balik ke sekolah, saya pernah hampir kemalangan dengan lori kerana jalan yang berlubang-lubang ditambah lori pembinaan yang keluar masuk, sememangnya berisiko,” katanya

Katanya, penduduk turut berdepan fenomena air pasang besar sehingga jalan keluar dan masuk tidak dapat dilalui untuk menghantar atau mengambil anak-anak dari sekolah dan

Justeru, dia berharap Kementerian Pendidikan dapat menyelesaikan segera masalah berkenaan demi kemudahan penduduk.

“Kalau hendak bina sekolah baharu ambil masa yang lama, sedangkan dalam tempoh dua tahun ini pun tiada apa yang dilakukan. Kami pernah dijanjikan untuk kabin sementara diletakkan di sekitar SK Perigi Acheh bagi menempatkan murid-murid belajar, tetapi hingga lini tiada satu kabin pun diletakkan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Fauzi Faizal berjanji akan menghantar surat rasmi kepada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri berkaitan isu berkenaan.

“Saya seru kerajaan terutamanya Kementerian Pendidikan untuk mempercepatkan pembinaan SK Perigi Acheh ini dan beri keutamaan dalam proses membaik pulih sekolah ini kerana memberi impak yang besar kepada penduduk, terutamanya murid-murid,” katanya.- utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN