KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin UMNO tidak yakin parti itu mampu menang dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan tidak lama lagi.
Seorang pemimpin tertinggi parti itu ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, tarikan Melayu dilihat masih kepada Perikatan Nasional (PN) dan sukar buat UMNO menarik golongan tersebut yang kebanyakannya menjadi pengundi putih parti berkenaan.
Katanya, tempoh PRN yang hampir dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) turut memainkan peranan dalam mempengaruhi pengundi khususnya Melayu.
“Saya lihat memang susah untuk menang, susah. Sebab jarak PRN ni dekat sangat dengan PRU-15, jadi rekod PRU-15 ini sangat berperanan dalam mempengaruhi pengundi Melayu.
“Sehingga sekarang saya masih melihat sentimen Melayu ada pada PN, bukan kita,” katanya semalam.
Untuk rekod, UMNO hanya menang 26 kerusi pada PRU-15 sekali gus keputusan tercorot berbanding PRU sebelum ini.
Di Lembah Klang, Selangor dan Wilayah Persekutuan daripada 34 kerusi Parlimen yang dipertandingkan, UMNO hanya menang satu kerusi iaitu di Parlimen Titiwangsa.
Sementara di kawasan Parlimen di Semenanjung yang pengundi Melayunya melebihi 70 peratus, daripada 91 kerusi yang dipertandingkan UMNO hanya menang 12 kerusi.
Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed memberi gambaran usaha UMNO untuk kembali menarik orang Melayu agak sukar kerana melihat DAP sebagai liabiliti.
Katanya, perkara itu menjadi cabaran kepada UMNO untuk memenangi semula keyakinan orang Melayu, terutama dalam menghadapi PRN akan datang.
Nur Jazlan berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Naib Pengerusi DAP Perak, Aziz Bari berhubung peranan UMNO menarik sokongan orang Melayu masih tidak jelas memandangkan peranan itu kini dimainkan oleh PN.
“Tetapi untuk PRN, peranan UMNO belum nampak kerana sokongan Melayu kita lihat banyak pergi kepada PN, bukan UMNO. Pengundi bukan Melayu pula khususnya semua bimbang dengan tindakan ekstrem PN itu.
“Tetapi hikmahnya undi bukan Melayu solid kepada PH, jadi peranan UMNO itu yang masih kita tidak nampak setakat ini,” kata Aziz.
Seorang lagi pemimpin UMNO dari Johor turut bersetuju bahawa beliau tidak yakin parti itu mampu kembali kuat dalam tempoh tiga bulan akan datang untuk menarik sokongan Melayu dalam PRN nanti. – UTUSAN










