Pembinaan ECRL di Terengganu capai tahap 55.21 peratus  - Utusan Malaysia

Pembinaan ECRL di Terengganu capai tahap 55.21 peratus 

KERJA-KERJA pembinaan ECRL kini leih 50 peratus siap.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kerja-kerja pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu kini mencapai tahap 55.21 peratus iaitu mengikut jadual kerja yang dirancang setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, tahap kemajuan keseluruhan projek ECRL sejauh 665 kilometer yang merangkumi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor pula sebanyak 40.81 peratus.

“Jajaran ECRL di negeri Terengganu iaitu kira-kira 275 kilometer (km) adalah yang terpanjang di antara keempat-empat empat negeri yang direntasi ECRL.

“Projek pembinaan jajaran yang bermula dari Kota Bharu, Kelantan dan berakhir di Pelabuhan Klang, Selangor dijangka siap mengikut jadual iaitu pada akhir tahun 2026,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Bersama ECRL yang dianjurkan MRL dan China Communications Construction (ECRL) Sdn. Bhd. (CCC-ECRL) di sini malam tadi.

DARWIS Abdul Razak (belakang dua dari kanan) bergambar bersama anak-anak yatim dari Asrama Puteri Pra Tahfiz Perkaya yang hadir pada Majlis Iftar Bersama ECRL di Kuala Terengganu, Terengganu. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI

Seramai 20 anak-anak yatim dan kakitangan dari Asrama Puteri Pra Tahfiz Perkaya Kuala Terengganu di Kampung Kubang Parit di sini turut diraikan dalam majlis tersebut.

Darwis berkata, jajaran ECRL di negeri ini turut melibatkan pembinaan enam buah stesen.

Katanya, stesen Jerteh di Besut , Bandar Permaisuri (Setiu), Kuala Terengganu dan Kemasik (Kemaman) telah ditetapkan sebagai stesen penumpang manakala stesen Dungun dan Chukai di Kemaman adalah stesen untuk penumpang dan kargo.

“Jajaran ECRL sepanjang 665km itu bermula dari Kota Bharu, Kelantan dan berakhir di Pelabuhan Klang, Selangor.

“ECRL akan menjimatkan masa perjalanan dan menghubungkan Kota Bharu dengan Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) Gombak, iaitu pintu masuk utama ke Kuala Lumpur dalam masa empat jam berbanding tujuh jam melalui jalan raya biasa. Sehubungan itu, ECRL dijangka menghubungkan Kuala Terengganu dengan ITT Gombak dalam anggaran 2.5 jam apabila beroperasi kelak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya