Pemberian TAHAP kepada kerajaan negeri ditingkat RM400 juta - PM

Pemberian TAHAP kepada kerajaan negeri ditingkat RM400 juta – PM

ANWAR Ibrahim bergambar bersama semua menteri besar dan ketua menteri negeri-negeri selepas Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2023 di Kementerian Kewangan, Putrajaya. - GAMBAR IHSAN MOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan menambah baik pemberian dan sokongan kepada kerajaan negeri untuk tahun ini dengan tujuh keputusan dicapai demi melaksanakan pembangunan negara yang lebih seimbang.

Perkara itu dipersetujui menerusi Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2023 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan dihadiri semua menteri besar dan ketua menteri atau wakil dari setiap negeri.

Menurut Perdana Menteri, melalui keputusan itu, Kerajaan Persekutuan bersetuju meningkatkan Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (Pemberian TAHAP) kepada RM400 juta.

Kata beliau, ini termasuk semakan semula dan penambahbaikan bagi petunjuk serta pengagihan Pemberian TAHAP sebagai satu komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menyediakan peluang kepada kerajaan negeri melaksanakan projek pembangunan mengikut keutamaan dan acuan negeri masing-masing.

“Ini seterusnya dapat memperkukuh lagi momentum pemulihan ekonomi ke arah pembangunan Malaysia Madani,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar berkata, selain itu, kerajaan negeri disaran memberi keutamaan kerja-kerja penyelenggaraan jalan di negeri masing-masing kepada kontraktor Kelas G1 hingga G4 dan tidak hanya tertumpu kepada beberapa syarikat konsesi besar.

Beliau menjelaskan, langkah ini bertujuan membantu kitaran ekonomi kontraktor-kontraktor kecil dengan lebih adil dan secara tidak langsung dapat merangsang pertumbuhan ekonomi negara lebih tuntas.

Pada masa sama, kata beliau, Kementerian Kewangan akan menambah peruntukan sebanyak RM250 juta lagi bagi penyelenggaraan berkala pavemen Jalan Persekutuan sebagai memahami kepentingan dan keperluan itu supaya keadaan jalan sentiasa selamat dan selesa untuk kegunaan rakyat.

“Ini terutamanya untuk menangani masalah jalan raya berlubang yang menjadi antara penyumbang kepada kemalangan dan peruntukan tambahan ini juga akan dikhususkan untuk manfaat kontraktor-kontraktor kecil bumiputera.

“Penambahan ini menjadikan peruntukan keseluruhan penyelenggaraan berkala pavemen Jalan Persekutuan meningkat kepada RM1 bilion berbanding RM750 juta sebagaimana diumumkan dalam Belanjawan 2023,” katanya.

Selain itu, Anwar berkata, penggunaan peruntukan di bawah Pemberian Penyelenggaraan Jalan Negeri juga ditambah baik bagi menyelenggara jalan dan kerja-kerja lain berkaitan di kawasan perumahan berpagar dan mempunyai kawalan keselamatan serta penggantian papan tanda nama jalan dan lorong bagi jalan.

Antaranya melibatkan jalan kampung, jalan taman dan papan-papan tanda jalan lain selain daripada penunjuk arah.

Anwar berkata, pemberian Ecological Fiscal Transfer (EFT) turut dinaikkan kepada RM150 juta berbanding RM70 juta pada tahun lalu sebagai galakan khusus kepada negeri-negeri yang mewartakan kawasan perlindungan baharu.

Bagi tujuan penambahbaikan ke atas pinjaman Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri pula katanya, Kementerian Kewangan bersetuju mempertimbangkan dan meminda kaedah pengeluaran kepada secara bayaran kemajuan kerja melibatkan pinjaman baharu bagi projek-projek pembangunan di bawah Rolling Plan Rancangan Malaysia.

“Pendekatan ini dapat menyegerakan proses penyaluran peruntukan yang disediakan secara pinjaman, membantu kerajaan negeri yang mempunyai masalah aliran tunai dan bergantung kepada peruntukan pinjaman bagi melaksanakan projek pembangunan sekali gus melancarkan pelaksanaan projek-projek pembangunan,” katanya.

Turut dicapai pada mesyuarat berkenaan ialah pelanjutan pakej insentif cukai bagi pelaburan ke negeri bagi tempoh peralihan dua tahun sehingga 31 Disember 2024 melibatkan negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah.

Katanya, ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengimbangi pembangunan di seluruh negara melalui aktiviti pelaburan yang dilaksanakan oleh pihak swasta selain sebagai satu langkah interim ke arah pemakaian struktur insentif baharu yang lebih menyeluruh.

“Kerajaan Persekutuan sentiasa komited dalam memastikan hubungan dengan Kerajaan Negeri berada pada tahap yang terbaik dan hasrat ini dimanifestasikan melalui peningkatan peruntukan yang disalurkan dalam pelbagai bentuk pemberian kepada kerajaan negeri setiap tahun.

“Pemberian-pemberian ini diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya kerajaan negeri bagi melaksana pembangunan negara lebih seimbang selaras dengan gagasan Malaysia Madani,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya