Pelaburan saham ‘Tan Sri’: MHO gesa 400 mangsa lapor polis - Utusan Malaysia

Pelaburan saham ‘Tan Sri’: MHO gesa 400 mangsa lapor polis

HISHAMUDDIN Hashim (tiga dari kanan) bersama hampir 140 mangsa skim pelaburan saham antarabangsa dalam sidang akhbar di Sungai Besi hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia International Humanitarian Organisation (MHO) menggesa 400 pelabur yang menjadi mangsa penipuan pelaburan saham antarabangsa melibatkan kerugian dianggarkan RM56 juta untuk tampil membuat laporan polis.

Kebanyakan mangsa didakwa takut membuat laporan polis selepas beberapa ejen dan pelaburan yang mengambil tindakan sebegitu telah ditahan polis, disiasat selain akaun bank dan harta dibeku pihak berkuasa.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kegiatan didalangi seorang lelaki bergelar ‘Tan Sri’ palsu sebagai pengarah syarikat dengan menawarkan pelaburan saham berlandaskan syariah serendah RM30,000.

Katanya, syarikat tersebut turut menjanjikan dividen sehingga empat peratus hingga ramai mula melaburkan wang pada awal 2021 dan mendapat pulangan dalam tempoh beberapa bulan.

“Syarikat pelaburan itu gagal membayar dividen pada Disember 2021, sehingga kini menyebabkan beberapa ejen dan pelabur membuat laporan polis pada tahun lalu.

“Bagaimanapun mereka ditahan polis sehingga menyebabkan mangsa lain yang tertipu takut untuk melaporkan kepada pihak polis,” katanya dalam sidang akhbar di Sungai Besi hari ini.

Justeru menurut Hishamuddin, pihaknya meminta mangsa-mangsa yang tertipu dengan syarikat terbabit tampil kepada pihak polis agar tindakan selanjutnya dapat diambil.

Jelasnya, setakat ini sebanyak 140 aduan diterima pihak MHO dan dianggarkan kira-kira 400 mangsa telah terpedaya dalam pelaburan tersebut.

“Saya juga nak perbetulkan pemikiran mereka (mangsa), jika tidak membuat laporan walaupun tahu ia satu jenayah adalah salah di sisi undang-undang iaitu Seksyen 202 Kanun Keseksaan.

“Ejen yang ditahan hanya dijadikan saksi, namun walaupun pengarah syarikat kini didakwa di mahkamah namun ramai lagi mangsa tidak mendapat pembelaan,” jelasnya.

Sementara itu, suri rumah yang dikenali sebagai Siti, 47, mengalami kerugian kira-kira RM230,000 apabila wang peninggalan arwah suaminya lebur dalam pelaburan terbabit.

Jelasnya, dia mula melabur pada 2021 dan mendapat pulangan sebanyak empat peratus selama 10 bulan namun syarikat tersebut gagal membayar keuntungan pada Februari tahun lalu.

“Saya telah membuat laporan polis tahun lalu namun kes saya dapat didakwa sehinggakan saya buntu. Jadi awal bulan ini saya telah membuat laporan kedua berharap agar pihak polis dapat mengambil tindakan selanjutnya,” jelasnya.

Seorang lagi suri rumah, Azian, 43, mendakwa dia hanya membuat laporan pada bulan lalu selepas setahun dalam ketakutan apabila terlihat rakan-rakan serta ejen yang mengambil tindakan tersebut namun ditahan polis.

“Malah mereka kata harta, kereta semua dibeku jadi saya tidak lapor kerana takut jika menerima nasib sama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.