KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui kerajaan tidak mampu menyelesaikan masalah doktor-doktor kontrak yang sedang mogok dengan menyerap mereka ke dalam jawatan tetap Kementerian Kesihatan.
Katanya, ini disebabkan kerajaan terpaksa membelanjakan sejumlah wang yang terlalu besar jika menyerap lebih 20,000 pegawai perubatan berstatus kontrak.
Jelasnya, dalam Belanjawan 2023 peruntukan emolumen (bernilai) RM19.7 bilion kepada Kementerian Kesihatan (KKM) menyaksikan peningkatan RM3 bilion berbanding 2022.
“Sejumlah RM3 bilion pertambahan emolumen, termasuk RM1.2 bilion (bagi) kenaikan gaji tahunan, selain peruntukan pertambahan bagi keperluan pegawai kontrak bernilai RM600 juta. Pelantikan ke jawatan tetap yang diserap daripada pegawai kontrak pula bernilai RM1.1 bilion.
“Jadi, kalau tahun ini kita selesaikan semuanya, kerajaan tidak mampu. Namun, kerajaan beri perhatian isu doktor kontrak. Tidak ada sama sekali niat untuk meremehkan kerana doktor kontrak berkhidmat dengan baik, berkorban masa dan tenaga, selain negara memang memerlukan mereka,” katanya Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (PH-Tuaran) berhubung jumlah keseluruhan pegawai perubatan lantikan kontrak dalam perkhidmatan awam dan implikasi kewangan jika semuanya diserap ke jawatan tetap.
Sementara itu, menjawab soalan Wilfred Madius mengenai kesediaan kerajaan meningkatkan kadar elaun ‘on-call’ RM9 seperti yang diterima pegawai perubatan, katanya, jumlah itu masih sesuaian.
Ini diukur dengan penetapan kadar mengikut hari tugas jam, berbanding kadar elaun lain diterima perkhidmatan lain.
“Walaupun dianggap kecil, diminta tambahan tetapi kadar semasa elaun tugas panggilan bagi panggilan perubatan, sama ada berkhidmat secara tetap atau kontrak dan diarah menjalankan tugas selepas waktu tugas biasa di hospital kerajaan, universiti atau tentera atau klinik desa masih bersesuaian,” katanya.
Katanya lagi, kerajaan bersetuju memperluas pemberian elaun tambahan kepada kakitangan perubatan di Klinik Kesihatan dan jabatan kecemasan yang diarah bertugas selepas waktu bekerja ditetapkan.
Ia turut membabitkan perluasan waktu, merangkumi cuti pelepasan mingguan kepada beberapa klinik kesihatan yang dikenal pasti, namun, pemberian elaun tambahan itu tidak termasuk kakitangan perubatan yang bertugas di Klinik Kesihatan atau jabatan kecemasan.
“Saya juga sudah arahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan (MoF) mengkaji supaya kemudahan ini dipanjangkan kepada semua, selain pegawai perubatan,” katanya.-utusan