PETALING JAYA: Kepemimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu fokus dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), bukannya terus bergelut dalam konflik yang merugikan.
Gesaan itu dibuat sayap Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan Srikandi Muda yang mahu kepemimpinan membawa naratif positif serta menjernihkan semula kerjasama dalam parti yang kini dilihat berpecah kepada dua kem iaitu kem Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kem Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Ketua Penerangan Armada, Harris Idaham Rashid berkata, gabungan Bersatu dan Pas dalam Perikatan Nasional (PN) tidak akan mencapai sasaran membentuk kerajaan, jika Bersatu terus menjatuhkan antara satu sama lain.
“Tidak ada cara untuk Hamzah menang, Azmin (Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) kalah ataupun untuk Azmin menang, Hamzah kalah, kerana kalau PN tidak menjadi kerajaan, dua-dua ini tidak akan dapat apa-apa. Kalau PN jadi kerajaan, dua-dua ini akan ada tempat.
“Jadi, apa rasionalnya untuk kita timbal sesuatu untuk kita naikkan Timbalan Presiden? Kerana mana ada satu situasi bahawa Azmin rugi atau Hamzah untung? Tidak ada juga. Kalau PN menang, dua-dua akan dapat untung bersama dalam parti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Harris Idaham berkata, proses pendamaian perlu dilakukan segera di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) di mana Presiden dan Timbalan Presiden perlu memainkan peranan memperkukuh semula parti.
Sementara itu, Ketua Srikandi Muda, Nurul Ezzati Azmi berkata, setiap pergeseran dalaman yang berlaku tidak wajar didedahkan secara terbuka sehingga boleh menjejaskan nama baik parti.
Katanya, permasalahan perlu disalurkan melalui saluran terbaik dan dibawa dalam perbincangan MPT.
“Segala permasalahan atau aduan boleh dirujuk kepada Lembaga Disiplin bagi memutuskan sebarang keputusan dan penyiasatan lebih terperinci berkaitan isu yang timbul.
“Bagaimanapun, isu yang berlaku tidak menjejaskan sayap parti kerana kami masih berpegang setia dan menghormati institusi Presiden. Ketiga-tiga sayap parti termasuk Armada dan Bersekutu masih lagi bergerak dan menjalankan aktiviti bersama,” katanya. – UTUSAN










