Kembalikan kegemilangan silat gayong dalam generasi muda

Kembalikan kegemilangan silat gayong dalam generasi muda

pasukan silat Lenkiu Kohar yang menggabungkan pesilat dewasa dan cilik untuk menyemarakkan kembali warisan seni mempertahankan diri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam dunia serba moden, masih ada lagi sekumpulan anak muda yang sedaya-upya mempertahankan seni mempertahankan diri tradisional yang kian ditelan zaman.

Bagi Jebat Zulfar Minkail Abd. Ghapar, silat gayong bukan sekadar seni mempertahankan diri, tetapi warisan penuh nilai yang membentuk jati diri seorang pejuang sejati.

Disiplin, keberanian dan semangat yang ditanam dalam setiap gerakan silat menjadikannya lebih daripada sekadar pergerakan fizikal, sebaliknya simbol kekuatan jiwa dan maruah bangsa.

Namun katanya, dalam era moden ini, ada segelintir masyarakat yang memandang seni silat sebagai sesuatu yang lapuk dan tidak lagi relevan.

Ada yang beranggapan, tiada gunanya mempelajari silat kerana senjata moden seperti pistol lebih berkesan dan pantas.

Namun, bagi anak muda ini, tanggapan sedemikian merupakan satu kerugian besar kepada warisan bangsa.

“Sepanjang saya berusaha memartabatkan warisan ini, saya lihat sesetengah orang tidak ambil peduli kerana menganggap senjata moden lebih relevan untuk pertempuran.

“Kononnya, gerak langkah dan pukulan seni silat tidak mampu menandingi kekuatan senjata moden,” katanya kepada Utusan Malaysia.

TERJEMAH SILAT DALAM DUNIA DIGITAL

Bagi menanam minat dalam kalangan generasi muda, Jebat percaya pendekatan yang lebih dekat dengan dunia mereka perlu digunakan.

Maka, dia mengambil inisiatif memperkenalkan silat gayong secara aktif melalui platform media sosial seperti TikTok.

Setiap video yang dimuat naik memaparkan aksi-aksi tempur yang tangkas dan memukau dengan gerakan lincah, pukulan padu serta permainan senjata tradisional seperti keris dan parang.

Penonton dapat menyaksikan kehebatan seni ini walaupun hanya melalui skrin telefon, malah ramai yang terpesona dengan keberanian serta kemahiran yang dipamerkan.

Jebat kini berada di tahap tali pinggang merah iaitu satu tahap yang membolehkan dia menguasai pelbagai senjata berbahaya.

Latihan di tahap ini bukanlah sekadar permainan, sebaliknya menuntut ketepatan, kekuatan mental dan tumpuan tinggi kerana melibatkan teknik menahan tikaman dan mengelak serangan dengan aksi akrobatik berisiko tinggi.

Setiap persembahan bukan untuk menunjuk hebat, tetapi sebagai bukti kesungguhan mempertahankan dan memartabat warisan yang hampir dilupakan.

DARI MAJLIS KAHWIN KE LAYAR PERAK

Dengan kemahiran yang dimiliki, Jebat bangga menyertai kumpulan seni silat yang diketuai bapa saudaranya, dikenali sebagai Lenkiu Kohar.

Bersama pasukannya, silat gayong dibawa ke pentas-pentas persembahan dari majlis perkahwinan, karnival kebudayaan hinggalah ke festival seni warisan.

Kumpulan ini sentiasa tampil dengan koreografi yang dirancang rapi, memastikan setiap persembahan bukan sekadar pertunjukan biasa, tetapi persembahan yang mampu membangkitkan semangat penonton dan memberi kesedaran tentang keindahan serta keunikan seni warisan ini.

Kejayaan mereka tidak terhenti di pentas tempatan.

Jebat dan pasukannya juga melangkah ke dunia perfileman apabila diberi peluang membawa silat gayong ke layar perak melalui filem aksi bertajuk Geran.

Jelasnya, filem tersebut yang memaparkan aksi pencak silat gayong menceritakan sebuah keluarga yang mahir dalam ilmu mempertahankan diri berganding bahu mendapatkan semula tanah pusaka yang dijual tanpa persetujuan.

Jebat yang diberi peluang membawa watak sampingan dalam filem itu meluahkan rasa syukur kerana berpeluang berkongsikan kemahiran dan ilmu silat bersama pelakon-pelakon lain.

Filem tersebut yang ditayangkan 2019 lalu, bukan sahaja diterima baik di Malaysia, malah berjaya menembusi pasaran antarabangsa apabila ditayangkan di negara barat.

Sudah tentu, ia satu pencapaian yang membanggakan buat seni silat tempatan.

“Saya sangat bangga kerana filem berjudul Geran mendapat pengiktirafan apabila berjaya dipentaskan di New York sekali gus merupakan satu pencapaian luar biasa bagi filem silat tempatan,” katanya.

Kesimpulannya, anak muda ini berjaya menjadi simbol generasi pelapis yang menghargai warisan nenek moyang sehingga membawa silat gayong ke peringkat global.

Baginya, warisan ini bukan untuk disimpan dalam muzium, tetapi untuk terus hidup dan berkembang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN