KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini diteruskan dengan beberapa Rang Undang-Undang (RUU) dibentang untuk bacaan kali kedua.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat di laman rasmi Parlimen, antara yang dijangka dibentang dan dibahaskan adalah RUU Kewangan 2023, RUU Levi Keuntungan Luar Biasa (Pengesahan) 2023 dan RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.
Turut dijangka dibentang ialah RUU Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023, RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2023, serta RUU Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2023.
RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2023 dan RUU Pencetakan Teks al-Quran (Pindaan) 2023 turut tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat pada hari ini.
Pada 28 Februari lalu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul memaklumkan persidangan mesyuarat pertama penggal kedua Parlimen Ke-15 ditambah dua hari lagi iaitu pada hari ini dan esok yang menjadikan tempoh bersidang keseluruhan selama 31 hari.-utusan










