PETALING JAYA: Kerajaan digesa menyelesaikan segera isu kekurangan telur kerana beberapa lokasi di Pantai Timur mengalami masalah bekalan sumber protein itu yang kritikal.
Satu sumber industri yang dihubungi Utusan Malaysia semalam berkata, di Kelantan pihaknya mendapati beberapa lokasi bekalan dicatu sehingga menyukarkan pengguna mendapatkan telur.
Kata sumber, masalah itu berpunca akibat bekalan anak ayam sehari atau day old chick (DOC) yang sangat kritikal sekarang.
Katanya, ia didorong penularan wabak selesema burung di kebanyakan negara pengeksport stok induk tuai atau parent stock (PS) yang digunakan untuk menghasilkan bekalan DOC.
Sumber menjelaskan masalah itu mendorong ketidaktentuan pasaran di peringkat rantaian industri sekali gus mengurangkan permintaan terhadap PS.
“Jadi, ladang-ladang pembiak atau breeder yang mengeluarkan anak ayam, mereka tidak boleh keluarkan anak ayam banyak-banyak, sebab mereka berdasarkan pesanan dan tempahan.
“Tempahan anak ayam itu pula bukan hari ini terima pesanan, minggu depan boleh bekalkan, sebab mereka kena setting telur.
“Sekarang di Kelantan, kedai-kedai di kampung, telur dijual secara bercatu. 10 biji satu plastik. Cuma boleh beli satu plastik sahaja,” katanya di sini semalam.
Menjelaskan lanjut, sumber berkata, berdasarkan libat urus ladangnya dengan ahli industri lain termasuk agensi dan kementerian terlibat, difahamkan sekarang negara mengalami pengurangan pesanan anak ayam DOC yang kritikal mencecah hampir 40 peratus kerana ladang-ladang tidak mahu menanggung kerugian.
“Apabila berlaku pengurangan pesanan anak ayam sehingga mencecah 38 peratus, maka ladang-ladang breeder ini terpaksa menaikkan harga untuk menampung kerugian.
“Ini kerana untuk mengeluarkan satu juta anak ayam berbanding 500,000 ekor, kos operasinya hampir sama seperti elektrik dan sebagainya,” kata sumber. – UTUSAN










