Pagar elektrik elak gajah ceroboh kebun

Pagar elektrik elak gajah ceroboh kebun

PEMASANGAN pagar elektrik antara pilihan terbaik bagi memastikan gajah-gajah tidak lagi masuk ke kawasan kebun serta dusun penduduk.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pemasangan pagar elektrik yang menelan kos tinggi menyebabkan Jabatan Per­lin­du­ngan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) tidak mempunyai pilihan lain selain menghambat gajah yang menceroboh ke kawasan kampung kembali ke dalam hutan.

Pengarah Perhilitan Kedah, Jamalul Nasir Ibrahim berkata, pembinaan pagar itu bagaima­napun melibatkan kos tinggi ter­masuk aspek penyelenggara­an berterusan.

Setakat ini katanya, pihaknya tidak memiliki pilihan selain menghambat gajah itu kembali ke hutan memandangkan lokasi tersebut sememangnya habitat asal haiwan berkenaan.

“Pemasangan pagar elektrik merupakan antara pilihan terbaik bagi memastikan gajah-gajah dari Hutan Pedu tidak lagi masuk ke kawasan kebun serta dusun penduduk sekitar Kampung Pinang di Kuala Nerang, Padang Terap.

“Kita ada menerima aduan daripada pekebun dan pendu­duk di kawasan terjejas namun lokasi itu memang habitat asal kumpulan gajah berkenaan. Justeru, pilihan terbaik yang ada ketika ini adalah menghambat kumpulan gajah tersebut kembali ke hutan.

“Pilihan lain yang ada adalah memasang pagar elektrik namun itu melibatkan kos yang tinggi termasuk soal penyelenggaraan berterusan. Perkara ini perlu dirujuk kepada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bagi dipertimbangkan kerana laluan gajah ini luas,” katanya ketika dihubungi semalam.

Utusan Malaysia ­se­malam melaporkan mengenai kebimba­ngan penduduk Kampung Pi­nang dan beberapa lagi penduduk kampung berdekatan termasuk lebih 30 peserta Ta­nam Semula Berkelompok (TSB) Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) mengenai hasil tanaman mereka yang terjejas akibat di­serang gajah liar sejak lima bulan lalu.

Mereka juga bimbang kawanan gajah tersebut menyebera­ngi Sungai Pedu dan mendekati kawasan kampung sekiranya perkara itu tidak diberi perhatian.

Difahamkan ketika ini terdapat sekurang-kurangnya tiga kumpulan gajah liar antara lima hingga 11 ekor sering turun ke kawasan kebun serta dusun bagi menjamah hasil pertanian penduduk kampung.

Keadaan itu mengakibatkan ada dalam kalangan penduduk yang kehilangan sumber pendapatan termasuk merasa bimbang untuk menoreh getah ke­rana sering terserempak dengan haiwan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN