PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan Op Lancar dan Op Selamat 20 bagi memastikan kelancaran trafik serta penekanan pada pencegahan jenayah pecah rumah sempena Hari Raya Aidilfitri.
Op Lancar yang dilaksanakan bermula 18 dan 19 April akan memfokuskan kepada laluan yang dijangka mengalami kesesakan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Op Selamat 20 pula bermula 20 April depan akan dilaksanakan selama tujuh hari bertemakan ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’.
Beliau berkata, pihaknya menggerakkan seluruh jentera PDRM membabitkan elemen kereta peronda (MPV), unit rondaan bermotosikal (URB), rondaan bit, risikan dan operasi yang akan digerakkan secara sistematik.
“PDRM turut bekerjasama dengan Jabatan Sukarelawan Rakyat Malaysia (Rela) dalam usaha mengurangkan kesesakan trafik terutama di jalan-jalan negeri dan perbandaran.
“Fokus utama operasi ini adalah memastikan aliran trafik lancar, meminimumkan kemalangan, jaminan keselamatan harta benda dan premis kediaman serta menurunkan kadar jenayah pecah rumah semasa perayaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Acryl Sani, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) akan memfokuskan bagi mengurangkan kadar jenayah harta benda dengan elemen Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan rondaan bit di taman perumahan, premis perniagaan, dan pusat ibadat.
Jelasnya, pemantauan dari udara menggunakan dron oleh Pasukan Gerakan Udara (PGU) akan dijalankan bagi memantau lokasi panas sering berlaku kesesakan yang sudah dikenal pasti.
“Informasi hasil pemantauan udara akan disalurkan kepada elemen di lapangan untuk tindakan penyuraian trafik.
“PDRM menasihatkan pengguna jalan raya bertimbang rasa dalam pergerakan, sentiasa berhemah, berhati-hati, dan fokus dalam pemanduan agar Aidilfitri dapat disambut dalam kesejahteraan,” katanya.
Beliau turut meminta pengguna jalan raya peka dengan maklumat trafik terkini menerusi saluran rasmi Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) dan pihak konsesi lebuh raya.
“Pengguna jalan raya boleh bersama-sama menyalurkan sebarang maklumat berkaitan pesalah trafik yang melanggar undang-undang melalui rakaman video atau gambar agar tindakan dapat diambil,” katanya.- UTUSAN










