NexG tidak akan buat komen lanjut dakwaan salah guna dana Victor Chin, elak spekulasi

NexG tidak akan buat komen lanjut dakwaan salah guna dana Victor Chin, elak spekulasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: NexG Berhad menegaskan bahawa syarikat itu kekal mematuhi piawaian kawal selia dan tadbir urus korporat, tetapi tidak akan memberikan komen lanjut berhubung dakwaan Malaysia Corruption Watch (MCW) yang mengaitkan bekas Ketua Pegawai Operasinya, Victor Chin Boon Long, dengan isu salah guna dana.

Menurut kenyataan syarikat itu, perkara itu selaras dengan amalan tadbir urus yang baik dan bagi mengelakkan spekulasi yang boleh menjejaskan mana-mana pihak.

Bagaimanapun, syarikat itu menegaskan akan terus memberi kerjasama sepenuhnya kepada mana-mana pihak berkuasa kawal selia atau penguatkuasaan yang berkaitan, sekiranya sebarang penjelasan atau semakan diperlukan.

“Sejajar dengan amalan tadbir urus yang baik dan bagi mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan mana-mana pihak, NexG tidak akan membuat sebarang ulasan lanjut secara terbuka mengenai dakwaan khusus pada masa ini,” katanya di sini kelmarin.

Sebelum ini, MCW menyerahkan memorandum kepada pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif NexG, Datuk Abu Hanifah Noordin bagi menggesa penjelasan yang jelas dan telus diberikan kepada umum.

Ia membabitkan dakwaan serius mengenai penyalahgunaan dana syarikat berjumlah RM303.7 juta semasa tempoh Victor Chin memegang jawatan Ketua Pegawai Operasi NexG Bhd sekitar November 2024 hingga September 2025.

Dalam pada itu, NexG berkata, pihaknya mengesahkan ada menerima memorandum yang oleh MCW berhubung pelaburan Syarikat.

Untuk itu, NexG ingin menegaskan bahawa pihaknya memandang serius perkara yang dibangkitkan dan kekal komited terhadap prinsip ketelusan, tadbir urus yang baik serta pematuhan kepada semua keperluan peraturan yang berkuat kuasa.

“Semua maklumat material berkaitan pelaburan syarikat, termasuk rasional, struktur dan perkembangan korporat yang berkaitan, telah didedahkan sewajarnya melalui pengumuman rasmi kepada Bursa Malaysia selaras dengan keperluan penyenaraian, selain melalui komunikasi awam yang lain.

“NexG menegaskan bahawa pendedahan yang dibuat adalah tepat pada masanya dan telus, serta mencerminkan pematuhan berterusan terhadap piawaian kawal selia dan amalan terbaik tadbir urus korporat,” katanya.

NexG, yang sebelum ini dikenali sebagai Datasonic Group Bhd, merupakan pembekal tunggal buku pasport dan produk berkaitan MyKad di Malaysia, dan kini berada di bawah perhatian susulan dakwaan cubaan pengambilalihan oleh apa yang digelar sebagai ‘mafia korporat’. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN