KOTA BHARU: Peningkatan kos sara hidup memaksa seorang warga emas, Nik Mohd. Rosli Jaafar berfikir panjang untuk membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Mana tidaknya, Nik Mohd. Rosl, 63, yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) terpaksa menggunakan gajinya sebagai pekerja penyelenggaraan pendingin hawa sebanyak RM500 dan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM400 untuk membayar sewa rumah, elektrik, air dan membeli keperluan harian lain.
Menurutnya, walaupun pendapatan hampir mencecah RM1,000 sebulan, namun masih belum mencukupi untuk menampung perbelanjaan susulan kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Walaupun tinggal bersama anak saudara, setiap bulan saya terpaksa berkongsi untuk bayaran rumah sewa, bil elektrik dan air. Saya akui perbelanjaan itu agak tinggi untuk membuat persiapan Hari Raya.
“Alhamdulillah dengan sumbangan Yayasan Petronas ini, dapatkan saya membuat persiapan menyambut Aidilfitri dengan lebih meriah tahun ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semasa Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Golongan Berpendapatan Rendah (B40) Oleh Yayasan Petronas di sini semalam.
Seorang lagi penerima Masliza Che Mohamad, 51, yang berkerusi roda memberitahu, sumbangan itu amat membantu meringankan beban keluarga menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, peningkatan kos sara hidup menyebabkan dia terpaksa berbelanja secara berhemah bagi mengelakkan masalah kewangan selepas hari raya.
Sementara itu, Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata, seramai 600 keluarga berpendapatan rendah (B40) dari jajahan Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas, Bachok, Tanah Merah dan Pasir Puteh telah dipilih untuk menerima sumbangan tersebut.
Katanya, kesemua keluarga terpilih itu menerima sumbangan barangan asas berupa beras, minyak masak, gula, tepung, gandum, garam, serbuk minuman coklat, teh dan kekacang.
“Kenaikan harga barangan sedikit sebanyak memberi kesan kepada perbelanjaan isi rumah terutamanya menjelang Hari Raya Aidilfitri.
“Saya berharap sumbangan yang disampaikan kepada penerima hari ini sedikit sebanyak meringankan golongan yang kurang berkemampuan selain dapat memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri,” ujarnya. – UTUSAN










