Nyahklasifikasi rungkai punca nahas Double Six

Nyahklasifikasi rungkai punca nahas Double Six

IMBAS...Allahyarham Fuad Stephens (duduk) mewakili Sabah menandatangani Persetujuan dan Perjanjian Malaysia di London pada 8 Julai 1963.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keputusan kerajaan menyahklasifikasi tragedi  ‘Double Six‘ yang mengorbankan Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Fuad Stephens bersama 10 lagi mangsa bakal melegakan waris yang akan mengetahui kebenaran mengenai kemalangan udara itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Jeniri Amir berkata, segala kontroversi, spekulasi dan teori konspirasi mungkin dapat dijawab dengan pendedahan menyeluruh apabila dokumen itu dinyahklasifikasikan dan didedahkan kepada umum.

Menurut beliau, ia sekali gus melegakan waris kepada mangsa-mangsa terbabit selepas sekian lama diselubungi misteri yang memerlukan jawapan untuk menutup episod tragedi pada 6 Jun 1976.

“Pendedahan laporan ini berikutan kerajaan tidak ada pilihan selepas Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu baru-baru ini memerintahkan kerajaan mengambil langkah perlu untuk menyahklasifikasi laporan pihak berkuasa Malaysia mengenai tragedi itu.

“Kalau tidak, mereka boleh dianggap menghina mahkamah, segala arahan mahkamah perlu akur. Namun, langkah ini tepat menggambarkan keterbukaan Kerajaan Perpaduan kerana sekurang-kurangnya waris dan rakyat sabah seluruhnya tahu apakah punca utama di sebalik tragedi itu,” katanya di sini semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin mengumumkan Kabinet bersetuju mendedahkan laporan penuh insiden itu pada minggu depan dengan kenyataan awal akan dikeluarkan dalam tempoh dua hari ini.

Anwar berkata, kerajaan sebelum ini tidak memutuskan un­tuk menghebahkan, menza­hirkan atau diturun taraf (di­nyah­klasifikasi) sebagaimana per­­untukan di bawah Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88).

Menurut Jeniri, tindakan kerajaan ‘merahsiakan’ laporan tragedi itu sebelum ini berkemungkinan khuatir akan implikasi undang-undang berkaitan.

Jelas beliau, hanya pemimpin terdahulu yang sudah membaca laporan itu tahu apa sebab sebenarnya berlaku, adakah kerana sabotaj atau ada konspirasi politik sehinggakan mereka dalam kalangan pemimpin ketika itu takut mendedahkannya dan mengkategori laporan berkenaan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

“Apatah lagi syarikat pembuat pesawat berkenaan di Australia melalui kajian dilakukan mendapati nahas itu tidak ada kaitan dengan masalah teknikal.

“Kalau bukan ketiadaan masalah teknikal, adakah ini membawa implikasi kepada adanya kaitan dengan manusia? Itu sebenarnya implikasi dapatan itu. Saya fikir waris mangsa terbabit mahu tahu,” katanya.

Ditanya jika laporan itu mendedahkan punca berkaitan wujudnya konspirasi, beliau berkata, ia berkemungkinan ada implikasi undang-undang yang perlu ditangani dan ia tentunya tidak hanya akan berakhir di situ selepas pendedahan laporan berkenaan.

“Segalanya terpulang kepada apa sebenarnya bakal didedahkan melalui laporan tersebut. Tindak balas daripada waris terbabit sama ada boleh saman mana-mana pihak atau mahu  siasatan lanjut diadakan,” katanya.

Double Six adalah nahas pesawat Nomad 9M-ATZ keluaran Australia berlaku pada 6 Jun 1976 di Kota Kinabalu yang mengorbankan Ketua Menteri Sabah ketika itu Tun Fuad Stephens bersama 10 yang lain.

Fuad menaiki pesawat itu dari Labuan ke Kota Kinabalu untuk menghadiri jamuan rasmi de­ngan Menteri Kewangan Persekutuan ketika itu dan Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah di Istana Negeri.

Bagaimanapun, pesawat itu terhempas di perairan Sembulan ketika menghampiri Lapangan Terbang Kota Kinabalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN