JOHOR BAHRU: Sambutan Hari Raya Aidilfitri sebuah keluarga di Kampung Kempas Permatang, di sini suram apabila anak tunggal pasangan Mohd. Riduan Mohamad Nor, 37, dan Norlela Mohd. Yusof, 41, hanya diberi ‘harapan’ enam bulan sahaja akibat penyakit saraf tunjang.
Lebih memilukan, Nur Amyliana, 7, kini hanya mampu berbaring dan duduk seketika selepas sebelah badannya lumpuh akibat penyakit tersebut.
Doktor turut memaklumkan badan Nur Amyliana sudah tidak dapat lagi dapat menahan rawatan radioterapi yang telah dijalankan sebanyak 30 kali sejak didiagnos, tahun lalu.
Mohd. Riduan memberitahu, walaupun doktor memaklumkan anaknya sudah tiada harapan untuk pulih, namun dia masih perlu menjalani rawatan setiap bulan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini.
“Nur Amyliana dikesan menghidap penyakit saraf tunjang atau kanser otak pada November tahun lalu dan doktor beritahu dia hanya boleh hidup dalam tempoh enam bulan sahaja. Doktor beritahu Nur Amyliana boleh ‘pergi’ bila-bila masa sahaja, namun bagi saya dan isteri, itu hanya ramalan doktor yang juga seorang manusia biasa. Ajal ditentukan Allah,” katanya ditemui Utusan Malaysia.










