KLANG: Nasib sebuah keluarga di Kampung Delek Kiri dekat sini diibaratkan seperti ‘telur di hujung tanduk’ kerana terpaksa menghuni rumah yang hampir roboh.
Malah bahagian tengah rumah dengan dua bilik itu sudah pun roboh sepenuhnya manakala lantai di sebuah bilik tidur yang diperbuat daripada papan tidak boleh digunakan lagi kerana tidak stabil.
Menurut Johari Mat Noor, 66, rumah tersebut yang didiaminya bersama isteri dan anak bongsu lebih 30 tahun itu mengalami pelbagai kerosakan dan perlu diperbaiki segera.
“Saya pernah keluarkan wang simpanan Kumpulan Simpanan Kewangan Pekerja (KWSP) sebanyak RM20,000 bagi membaiki atap bahagian ruang tamu dan dapur.
“Namun, saya tak dapat baiki atap di bahagian tengah rumah yang sudah pun rebah beberapa tahun lalu kerana reput,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Tambahnya, pendapatan yang tidak tetap dengan menjadi seorang pekerja memunggah barang di Pelabuhan Klang secara kontrak membuatkan dia tidak mampu membaiki rumah secara keseluruhannya.
“Saya akan bekerja sekiranya majikan panggil untuk bekerja. Kalau tak ada kerja, saya akan duduk sahaja di rumah. Setiap kali bekerja, saya akan mendapat upah RM50 dengan tempoh bekerja selama lapan jam,” katanya yang sudah lebih 20 tahun bekerja dengan majikan tersebut.
Dalam pada itu, Johari memaklumkan, pihaknya pernah memohon bantuan daripada beberapa agensi kerajaan bagi pembaikan kerosakan yang dialami, namun permohonannya ditolak.
Justeru dia tidak mempunyai pilihan selain cuba mengumpul wang sebanyak mungkin bagi membaiki rumahnya.
“Amat berharap sangat kalau ada individu atau syarikat yang sudi memberikan sumbangan atau membaiki kerosakan rumah saya,” jelasnya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke dalam akaun bank Alliance Bank atas nama Johari Mat Noor, 62195-0-02-000768-1.-utusan










