PETALING JAYA: “Mungkin sampai sini sahaja kisah kami. Tiada persefahaman.”
Demikian luahan pelakon dan pengacara, Zulin Aziz menerusi kapsyen Instagramnya seolah-olah memberi bayangan dia dan suaminya, Farhan Norzaini sudah bercerai.
“Semoga yang baik-baik untuk masa akan datang. Insya-Allah, masa merawat semuanya. Terima kasih untuk segala-galanya. Jaga diri,” ujarnya.
Malah menerusi Instastory, Zulin, 34, turut memaklumkan dia tidak dapat memberi sebarang penjelasan berhubung status perkahwinannya yang berusia satu tahun.
“Saya minta maaf jika saya tidak dapat beri apa-apa penjelasan. Cukup itu sahaja, biarlah kami yang tahu. Biar sampai bila-bila hanya kami yang tahu.
“Hanya mohon doa kalian dan harap kami dapat jalani kehidupan yang baik pada masa depan dengan haluan masing-masing. Tiada apa yang mahu dikongsi, semoga Allah jaga rapat aib kami,” katanya.
Pengacara itu juga dalam perkongsian sama memohon ruang dan waktu daripada semua pihak malah menafikan status tersebut adalah satu gimik demi publisiti.
“Saya bersama keluarga sekarang, beri saya ruang dan waktu untuk ‘healing’. Saya akan kembali dengan lebih kuat.
“Permulaan yang indah, saya harap ini berakhir dengan indah juga.
“Konten, prank? Tiada lagu atau produk mahu dilancarkan. Mental saya sudah koyak. Cukup-cukuplah, jangan ditambah,” katanya.
Zulin dan Farhan bernikah pada 20 Februari tahun lalu.