SHAH ALAM: Management and Science University (MSU) menganjurkan program Majlis Berbuka Puasa MSU bersama anak-anak yatim di Dewan Canselor, kampus universiti itu di sini sebagai sebahagian daripada aktiviti bersempena program MSU Ihya Ramadan 2023.
Usaha itu bermatlamat untuk menyantuni dan berkongsi rezeki bersama kelompok komuniti yang tidak bernasib baik khasnya 20 rumah kebajikan di sekitar Lembah Klang dan membabitkan 200 orang penghuni.
Antara rumah kebajikan terlibat ialah Teratak Nur Barakah, Madrasah Anak Yatim dan Tahfiz Quran Hashimiah, Rumah Amal Limpahan Kasih, Rumah Kasih Harmoni, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Al-Nasuha, Persatuan Kebajikan Anak Yatim Al-Munirah dan lain-lain.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Presiden MSU, Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Shukri Ab. Yajid dan beliau telah menyerahkan sumbangan wang zakat dan duit raya dari Yayasan MSU bernilai RM80,000 kepada rumah-rumah kebajikan dan para penghuninya.

MSU memaklumkan, hubungan antara mereka dan rumah-rumah kebajikan telah terjalin semenjak tahun 2010 dan terus berkekalan sehingga kini.
“Majlis penyerahan zakat dan duit raya ini adalah acara tradisi MSU dan mencerminkan komitmen universiti berkenaan dalam memenuhi tanggungjawab terhadap komuniti serta menyuburkan budaya bersyukur dan memberi (2G Culture) dalam kalangan warga kampus khasnya dan masyarakat amnya,” kata MSU dalam kenyataan.
Turut hadir Naib Canselor MSU, Prof. Puan Sri Dr. Junainah Abd. Hamid; Naib Presiden Kanan Endowmen dan Komunikasi MSU, Datuk Rosli Yusof dan pengurusan kanan universiti serta wakil rumah kebajikan dan anak-anak yatim.
Program MSU Ihya Ramadan 2023 turut menyaksikan pengisian pelbagai aktiviti melibatkan warga kampus dan komuniti setempat antaranya ialah majlis sumbangan zakat kepada pelajar MSU dan Kolej MSU serta pelajar-pelajar sekolah menengah terpilih di Lembah Klang.
Selain itu, MSU Cares B40 Project, GPS Ramadan, Alumni: Box of Happiness, MSU Quranic League, Sinar Ramadan 6.0, Ramadan Booster 2.0, For You Series: Veggie Burgers, Bubur Lambuk 5.0, Amal Ramadan 2.0, Muafakat Ramadan dan Kembara Sahur 3.0.
Turut sama menjalankan aktiviti bersempena MSU Ihya Ramadan 2023 ialah kampus pesisir antarabangsa MSU, International Medical School di Bangalore melalui GPS Ramadan: Bangalore Chapter serta Ramadan@Jakarta Global University (JGU).
Selain itu, pengenalan Bazar Ramadan pula memberikan peluang kepada vendor yang terdiri daripada kumpulan asnaf B40, ibu tunggal, mualaf, serta orang kurang upaya (OKU) untuk menjual pelbagai juadah berbuka puasa kepada warga kampus. – UTUSAN










