PETALING JAYA: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga kepada Koperal Mohammad Nasri Mohd. Nasib, anggota tentera yang ditemukan meninggal dunia semalam selepas dilaporkan hilang di Hutan Simpan Royal Belum, Gerik.
Dalam satu hantaran di Facebook, Ahli Parlimen Rembau itu mendoakan semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
“Takziah diucapkan kepada Ketua Wanita Cawangan Pengkalan Sena, Fadzilah Bakar dan keluarga di atas pemergian anakanda tercinta.
“Ucapan takziah juga saya ucapkan kepada isteri Allahyarham, Nurhayatul Husna Abdul Muttalib.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membantu urusan membawa pulang jenazah,” katanya.
Semalam media melaporkan, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri mengesahkan mayat anggota tentera berusia 33 tahun itu ditemukan pada pukul 10.15 pagi.
Mohammad Nasri yang juga anggota tentera daripada Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Seri Bentong, Pahang dilaporkan hilang ketika melakukan operasi di kawasan pedalaman Hutan Simpan Royal Belum.
Kehilangan mangsa disedari selepas dia bersama lima rakan setugas sedang menjalankan operasi di kawasan penugasan pada pukul 5 petang, Jumaat lalu. – UTUSAN










