PETALING JAYA: Mogok Doktor Malaysia yang langsung selama tiga bermula hari ini akan menjejaskan operasi di hospital dan klinik kesihatan kerajaan sekiranya lebih 8,000 doktor kontrak tidak hadir bertugas.
Tindakan mogok itu tidak akan berlaku sekiranya kerajaan lebih awal menyelesaikan beberapa isu tuntutan termasuklah penyerapan pegawai perubatan kontrak ke jawatan tetap, kenaikan gaji pokok, kadar on-call lebih tinggi dan pengurangan automatik dalam tempoh perkhidmatan wajib bagi pegawai perubatan kepada tiga tahun.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, jurucakap Mogok Doktor Malaysia memberitahu, tiada demonstrasi atau tunjuk perasaan akan diadakan, sebaliknya doktor kontrak tidak akan hadir bertugas iaitu merupakan satu-satunya tindakan mogok dijalankan pihaknya selama tiga hari sehingga Rabu.
Tegasnya, tiada satu pihak yang boleh menghentikan hasrat mereka bagi melakukan mogok tersebut meskipun menerima pelbagai desakan oleh segelintir pihak tertentu.
“Kami tiada akan dipermainkan oleh agenda percaturan sang penguasa politik yang berkali-kali dalam isu ini.
“Oleh demikian kami menganjurkan mogok ini sebagai tanda bantahan terhadap sikap kerajaan yang masih belum menyelesaikan beberapa isu tuntutan yang dihadapi lebih ribuan pegawai perubatan doktor kontrak,” katanya ketika dihubungi semalam.
Satu kumpulan yang dikenali Mogok Doktor Malaysia tetap dengan pendirian melancarkan mogok di seluruh negara bermula hari ini sehingga Rabu meskipun berdepan risiko dikenakan tindakan tatatertib.
Selain itu, tindakan tersebut juga bakal melumpuhkah sektor kesihatan terutamanya di wad kecemasan hospital kerajaan.
Mereka mengambil pendirian itu kerana kerajaan masih membisu berhubung beberapa isu termasuklah masalah lantikan ke jawatan tetap yang berlarutan lebih tujuh tahun.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memaklumkan, tindakan mogok itu bukan jalan penyelesaian terbaik dan mungkin menyebabkan perkhidmatan kesihatan negara terjejas.
Tindakan itu kata beliau, perlu dipertimbang teliti kerana perkhidmatan kesihatan adalah satu perkhidmatan kritikal membabitkan nyawa manusia dan kesejahteraan rakyat.
Mengulas perkara berkenaan, kata jurucakap, pihaknya berharap tindakan mogok tersebut tidak menimbulkan satu perkara serius termasuk boleh mengorbankan nyawa kerana sudah diuar-uarkan lebih awal kepada orang ramai untuk pergi hospital dan klinik swasta untuk mendapat rawatan.
“Bukan tanggungjawab kami jika ada kemalangan jiwa berlaku kerana kami mengambil cuti sebagai tanda protes,” katanya.
Menurutnya, mogok itu berlangsung di 146 hospital awam dan 2,892 klinik kerajaan kesihatan di seluruh negara.
Sementara itu, doktor kontrak yang hanya mahu dikenali sebagai Siti berkata, tujuan pihaknya menyertai mogok tersebut bukanlah demi kepentingan diri, sebaliknya untuk mengangkat sistem kesihatan awam dengan memperjuangkan pembelaan mereka yang dinafikan hak untuk mendapat banyak faedah seperti pegawai perubatan tetap.
Katanya, mereka mengetahui impak mogok itu kepada perjalanan operasi sektor kesihatan awam seluruh negara yang bakal terkesan sekiranya lebih 8,000 doktor kontrak menyertai mogok selama tiga hari.
“Semua gaji dan hak tidak setimpal dengan pengorbanan sepanjang bertugas. Sebab itulah ramai dalam kalangan kami lari daripada kerajaan dan menyertai sektor swasta.
“Jika perkara ini berterusan, yang sengsara adalah rakyat sendiri kerana kurang doktor,” katanya. – UTUSAN










