JERANTUT: Menu berasaskan ikan patin mengalami kenaikan harga di daerah ini ekoran kekurangan bekalan dan harga bahan mentah melebihi RM20 sekilogram ketika ini.
Harga jualan menu ikan patin berbeza berasaskan saiz ketul ikan dipotong iaitu antara RM7 hingga RM10 dan RM12 hingga RM15 seketul.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, peniaga di sebuah bazar Ramadan bandar ini yang mahu dikenali sebagai Milly berkata, dia terpaksa menjual seketul ikan patin dimasak tempoyak antara RM10 hingga RM15 disebabkan agak sukar memperoleh ikan tersebut daripada penternak.
“Untuk dimasak dan dijual, sebanyak 10 ekor setiap hari ikan patin bersaiz sederhana dengan harga RM20 sekilogram dibeli dari pembekal. Mahu tidak mahu, saya terpaksa menjual menu ini melebihi RM10 seketul untuk pulangan modal termasuk bahan campuran seperti tempoyak, lada dan sebagainya,” katanya di sini semalam.
Tambah Milly, dia tidak menafikan harga makanan berasaskan ikan patin agak berbeza dalam kalangan peniaga di gerai dan bazar Ramadan, tetapi penjual mempunyai pandangan serta jawapan masing-masing.
Peniaga makanan tempatan di Kuala Tahan, Zabrina Ismail berkata, dia menjual masakan asam tempoyak ikan patin dengan harga RM8 seketul.
“Saya tidak bercadang menjual dengan harga melebihi RM10 kerana harga RM8 sudah memadai dan menyenangkan hati pelanggan ke sini termasuk pelancong yang kerap singgah di kedai ini.
“Tentang bekalan ikan patin, saya tidak berdepan masalah kerana memperoleh daripada pembekal dan boleh dikatakan tidak pernah putus walaupun diuar-uarkan ikan patin semakin kekurangan,” katanya.
Sementara itu, penternak ikan patin Kampung Jerantut Feri, Azman Zainuddin berkata, kemungkinan dalam tempoh dua minggu lagi ikan patin akan terputus bekalan di pasaran berikutan penternak tidak mampu berbelanja makanan dan benih ikan termasuk kos pengurusan.
“Sehingga kini, setiap minggu hanya satu tan metrik mampu disediakan oleh seramai 17 orang penternak di sini dan masing-masing sejak awal bulan puasa ini sudah mengangkat (mengosongkan) sangkar masing-masing,” katanya.
jelasnya, kerajaan sepatutnya mencari penyelesaian bagi membantu penternak di daerah ini yang merupakan pembekal utama ikan air tawar di negeri ini seperti inisiatif bantuan benih dan makanan ikan. – UTUSAN










