Memo protes ke kedutaan AS pada hari Al-Quds Sedunia

Memo protes ke kedutaan AS pada hari Al-Quds Sedunia

TENTERA Israel berkawal ketika penduduk Palestin bersembahyang di pekarangan Masjid al-Aqsa Baitulmaqdis semasa bulan suci Ramadan. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Himpunan Hari Al-Quds Sedunia 2023 yang sepatutnya dirancang untuk diadakan pada 21 April ini dianjakkan seminggu lebih awal kepada 14 April depan.

Perkara tersebut disahkan jurucakap Sekretariat Palestin Malaysia, Farazdaq Fargas ketika dihubungi Utusan Malaysia apabila ditanya perubahan tarikh program berkenaan.

“Ada kemungkinan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di ibu kota ditutup pada 30 Ramadan kelak iaitu 21 April dan menggagalkan usaha penyerahan memo bantahan,” katanya.

Hari Al-Quds Sedunia setiap tahun berlangsung pada Jumaat minggu terakhir Ramadan dan mula diraikan sebahagian besar negara Islam sejak awal dekad 1980-an lalu.

Ia diadakan sebagai tanda solidariti umat Islam memperingati detik ‘hitam’ Palestin mula dijajah para pendatang haram Zionis dan menawan kota suci Baitulmaqdis atau Al-Quds.

Ia asalnya disyorkan bekas Menteri Luar Iran, Ebrahim Yazdi pada 1979 bagi menentang perayaan Jerusalem Day disambut rejim Israel setiap 28 Iyar menurut takwim Yahudi.

Untuk tahun ini, Hari Al-Quds Sedunia berlangsung pada 21 April kelak, namun ada juga banyak negara Islam menganjaknya kerana tarikh itu dijangka jatuh pada 1 Syawal.

Mengulas lanjut, Farazdaq berkata, justeru sebagai langkah berjaga-jaga awal serta demi keseragaman dengan negara Islam lain, maka tarikh itu ditetapkan kepada 14 April.

“Jika tetap dibuat 21 April dan hilal Syawal tidak kelihatan sekali gus jadi 30 Ramadan, ‘adat’ di Malaysia pula ramai telah mula balik ke kampung untuk berhari raya,” katanya.

Sehubungan itu ujarnya, himpunan dirancang di Kedutaan AS di Kuala Lumpur mungkin menyukarkan isu logistik dan urusan permit dengan pihak berkuasa menjelang Aidilfitri.

Bahkan pihak sekretariat tersebut katanya, berasa bimbang usaha penyampaian memo protes kepada Duta Besar AS, Brian McFeeters akan gagal mencapai matlamat program.

Ditanya jangkaan penyertaan masyarakat, beliau menganggarkan seramai 1,000 orang akan terlibat bersama-sama dalam sambutan itu bermula selepas solat fardu Jumaat.

Para peserta jelasnya, akan berarak dari Masjid Tabung Haji di Jalan Tun Razak menuju ke canseri kedutaan kuasa besar dunia itu secara beramai-ramai dengan kawalan polis.

Perarakan kali ini kata Farazdaq, dijangka ‘hangat’ ekoran tindakan biadab oleh pasukan keselamatan rejim Israel menceroboh ganas kawasan Masjid Al-Aqsa pada 5 April lalu.

Sekretariat Palestin Malaysia ketika ini disertai oleh antaranya Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan beberapa lagi organisasi bukan kerajaan tempatan.

Al-Quds amat bermakna kepada umat Islam kerana di sini terletak Masjid Al-Aqsa yang merupakan kiblat pertama sebelum bertukar kepada Kaabah di Masjidil Haram, Makkah.

Malah lokasi itu adalah ketiga paling suci dalam ajaran Islam selepas dua Tanah Haram di Arab Saudi dan Rasulullah SAW sendiri menggalakkan umatnya datang menziarah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya