Mangsa banjir Besut terima bantuan selepas Aidilfitri

Mangsa banjir Besut terima bantuan selepas Aidilfitri

KEADAAN salah sebuah rumah yang terlibat dalam kejadian banjir di Besut, Terengganu pada Disember tahun lalu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Mangsa banjir di daerah Besut akan mula menerima bantuan khas sebanyak RM1,000 daripada kerajaan negeri selepas sambutan perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berkata, kira-kira 1,000 Ketua Isi Rumah (KIR) di daerah itu akan menerima bantuan tersebut.

Menurutnya, bantuan itu akan diagihkan kepada semua mangsa banjir di Besut selepas kerajaan negeri mendapat Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) daripada kerajaan pusat.

“Bagi pihak kerajaan negeri, saya memohon maaf kepada semua mangsa di Besut atas kelewatan ini. Bagaimanapun, agihan untuk mangsa banjir di daerah lain telah selesai dilakukan baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan mangsa banjir di daerah ini kecewa kerana masih belum menerima bantuan RM1,000 yang dijanjikan kerajaan negeri sebelum ini.

Mereka lebih terkilan apabila kebanyakan mangsa banjir di daerah-daerah lain telah menerima bantuan tersebut secara berperingkat baru-baru ini.

Ditanya mengenai sebahagian mangsa banjir di negeri yang turut tidak menerima bantuan RM3,500 daripada kerajaan pusat pula, Hanafiah berkata, perkara tersebut  di luar bidang kuasa kerajaan negeri.

Menurutnya, bantuan banjir tersebut diagihkan oleh kerajaan pusat melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

“Perincian agihannya kena bertanyakan kepada JPP kerana kerajaan negeri tidak tahu mengenainya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN