Malaysia diseru pengaruhi dunia pertahan Al-Aqsa

Malaysia diseru pengaruhi dunia pertahan Al-Aqsa

WALID Abu Ali menyeru sokongan bagi mempertahankan Masjid Al-Aqsa dalam sidang akhbar di Kedutaan Palestin di ibu negara, semalam. – UTUSAN/OMAR ZIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Palestin menyeru Malaysia menggunakan pengaruh dan kelantangan ber­suaranya untuk mengajak du­nia bersama-sama mempertahankan Masjid Al-Aqsa daripada serangan rejim Zionis.

Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali menyifatkan, serangan berterusan rejim tersebut ke atas masjid itu adalah sebahagian daripada usaha Israel untuk merampas seluruh kawasan masjid tersebut.

Justeru, katanya, soko­ngan terhadap mempertahankan mas­­jid itu amat penting kera­na percaya pengaruh besar yang ada pada Malaysia dalam meng­hentikan keganasan Israel.

“Malaysia boleh memainkan peranan di peringkat serantau dan antarabangsa. Malaysia boleh mempengaruhi banyak negara Asia di rantau ini, untuk menunjukkan sokongan dan solidariti mereka kepada Pa­lestin.

“Melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia sentiasa bercakap dengan lantang dan jelas mengenai sokongan mereka kepada perjuangan Palestin.

“Kami tidak pernah mempersoalkan pendirian rakyat Malaysia yang menyokong Pa­lestin. Saya meminta supaya te­rus memberi tekanan kepa­da negara-negara jiran di Asia dan negara sahabat untuk berkongsi sokongan mereka dan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara dan mening­katkan perwakilan Palestin di negara-negara lain,” katanya dalam sidang akhbar di ibu negara.

Menurut Walid, tanpa pe­ngaruh, kecaman dan gesaan dari negara seperti Malaysia, negara-negara lain akan terus berdiam diri termasuk sekutu Israel.

“Kami sebagai rakyat Pa­lestin ingin bertanya, jika komuniti antarabangsa berjaya mengenakan sekatan terhadap Russia berhubung apa yang berlaku di Ukraine, mengapa selama tujuh dekad, mereka tidak pernah serius untuk mengambil tindakan terhadap Israel?

“Jadi, menjadi tanggungjawab mereka yang bersekutu de­ngan Israel, kepada mereka yang menyokong Israel untuk menghentikan ketidakadilan, dan bersikap adil dengan Pa­lestin dan menganggap rakyat Palestin sebagai mangsa. Kami mahu komuniti antarabangsa memainkan peranan positif dalam melayani kami sama rata seperti negara lain,“ katanya.

Pada masa sama, Walid menghargai sumbangan ke­rajaan Malaysia seba­nyak AS$124,179 (kira-kira RM561,996) untuk pelbagai projek pembangunan di Palestin melibatkan tiga pihak hasil derma rakyat negara ini melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang diwujudkan oleh Kementerian Luar sejak 2002.

Ia meliputi sejumlah AS$­50,000 (kira-kira RM220,620) yang disampaikan terus kepada pihak Kementerian Awqaf dan Hal Ehwal Islam Jordan untuk Masjid Al-Aqsa.

Sebahagian sumbangan kepada Kementerian Pendidikan Palestin melibatkan AS$30,000 (kira-kira RM132,367) untuk pemasangan fasiliti sistem solar dua buah sekolah di Tebing Barat dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia di Jordan.

Selebihnya iaitu AS$44,179 (kira-kira RM200,000) untuk Global Peace Mission melakukan pelbagai projek pembinaan semula rumah warga Palestin yang dimusnahkan rejim Israel.

“Kami hargai sokongan yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, menteri agama, menteri-menteri dan banyak parti-parti politik antaranya UMNO.

“Mesej Malaysia amat jelas dan mereka menunjukkan so­kongan, bersolidariti dengan Palestin dan bagi pihak Palestin, saya amat menghargai apa yang Malaysia lakukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN