Lima ekor penyu ditemukan mati di Pulau Perhentian  - Utusan Malaysia

Lima ekor penyu ditemukan mati di Pulau Perhentian 

KEADAAN salah seekor penyu agar yang ditemukan mati di Pulau Perhentian, Besut, Terengganu. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Kes kematian penyu di Terengganu semakin membimbangkan apabila sebanyak lima ekor spesies haiwan terancam itu ditemukan mati di sekitar Pulau Perhentian di sini dalam tempoh seminggu sejak Rabu lalu.

Pengurus projek pemuliharaan penyu, Perhentian Turtle Project, Shafiqah Othman berkata, daripada jumlah itu, dua kematian adalah penyu jantan dewasa, dua penyu betina dewasa dan seekor anak penyu agar.

Menurutnya, kematian pertama membabitkan seekor penyu agar jantan dewasa yang dilaporkan kepada pihaknya pada Rabu lalu.

Beliau berkata, sebaik menerima laporan tersebut, mereka terus ke lokasi kejadian di Pasir Acing dan melakukan sedikit pemeriksaan fizikal untuk mengenal pasti kecederaan yang ada pada bangkai tersebut sebelum menanamnya di kawasan itu.

“Kes kedua pula berlaku pada Sabtu membabitkan seekor lagi penyu agar betina dijumpai dalam keadaan cangkerang yang sudah pecah, namun ia masih hidup ketika itu.

“Kami bawa penyu itu ke Pusat Taman Laut, namun hasil pemeriksaan mendapati kecederaannya terlalu parah dan berkemungkinan tidak dapat diselamatkan lagi kerana rawatan yang boleh dilakukan hanya terdapat di Pusat Pemuliharaan dan Informasi Penyu di Dungun. 

“Keesokan harinya, ketika kami ingin menanam bangkai kedua itu, kami dikejutkan lagi dengan satu lagi laporan mengenai penemuan bangkai penyu yang ketiga pula dan situasi ini sangat luar biasa kerana berlaku berturut-turut dalam tempoh yang singkat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Tambahnya, kematian keempat pula melibatkan penemuan bangkai seekor penyu agar juvenil di Teluk Pauh pada Selasa.

“Pagi semalam, kami dikejutkan lagi dengan penemuan satu lagi bangkai penyu agar dewasa betina di tengah laut.

“Perkara ini tidak pernah terjadi sebelum ini kerana jumlah kematian yang berlaku banyak sehingga lima ekor dalam tempoh seminggu.

“Sehubungan itu, kami berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan terperinci mengenai kejadian luar biasa ini agar ia tidak lagi berulang dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya