KUALA LUMPUR: Pas telah memfailkan permohonan untuk membatalkan saman yang difailkan oleh Naib Ketua Amanah, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berhubung isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).
Pada 15 Disember 2022, Mujahid memfailkan saman tersebut selepas Pas dalam satu hantaran Facebook mendakwa bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu menyokong golongan tersebut.
Pas dinamakan sebagai defendan dan disaman melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Peguam, Noorazmir Zakaria yang mewakili bekas Ali Parlimen Parit Buntar itu ketika dihubungi media mengesahkan perkara tersebut.
Jelasnya, Pas memohon agar saman fitnah tersebut dibatalkan tanpa perlu melalui perbicaraan penuh dan permohonan untuk membatalkan saman itu akan didengar pada 21 Jun ini.
Menurut notis permohonan yanng difailkan, Pas memohon saman itu dibatalkan atas alasan plaintif (Mujahid) gagal mendedahkan apa-apa klausa tindakan yang munasabah terhadap parti itu.
Menurut pernyataan tuntutannya, Mujahid menafikan bahawa ada menyuarakan sokongan terhadap LGBT atau menghalang pihak berkuasa daripada mengambil tindakan terhadap aktivis LGBT atau mereka yang terlibat dengan aktiviti berkaitan golongan itu.
Sehubungan itu, plaintif memohon perintah agar parti itu memadamkan kenyataan berbaur fitnah dan injunksi bagi menghalang Pas menerbitkan semula kenyataan fitnah tersebut.
Turut dimohon ialah ganti rugi am, teladan dan teruk, kos serta relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Sementara itu, Pas dalam pernyataan pembelaannya menyatakan, kenyataan yang dibuat di lama Facebook parti itu adalah komen yang adil berdasarkan kenyataan dibuat Mujahid yang dilaporkan oleh media.
Defendan turut menyatakan pembelaan berdasarkan justifikasi kerana kenyataan yang dibuat adalah berdasarkan kenyataan plaintif termasuk kenyataan yang dibuat pada sesi soal jawab dengan media pada 8 Ogos 2018.
“Kenyataan-kenyataan, pendekatan dan pendirian plaintif sendiri berkenaan hak golongan LGBT yang berhak mengamalkan Aktiviti Berunsur LGBT selagi tidak melakukan jenayah dan mempromosikannya seolah-olah membuka ruang dan harapan kepada golongan LGBT untuk diiktiraf,” jelas pembelaan itu.
Selain itu, defendan mendakwa Mujahid telah membaca artikel yang diterbitkan di luar konteks dan tidak mengambil kira tanggungjawab dan amanah yang dipikul pengamal media dan penulis untuk memberikan gambaran sebenar, teguran dan kritikan kepada pemimpin. – UTUSAN