Lelaki Orang Asli maut jatuh pokok Tualang ketika ambil madu lebah - Utusan Malaysia

Lelaki Orang Asli maut jatuh pokok Tualang ketika ambil madu lebah

MAYAT Sahrin Yok Sekop dibawa dengan kenderaan polis untuk dibedah siasat di Hospital Lipis, Lipis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Seorang lelaki Orang Asli etnik Semai berusia 37 tahun maut terjatuh dari sebatang pokok Tualang ketika mencari madu lebah di sebuah hutan berdekatan Kampung Tual, Pos Sinderut, dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Azli Mohd Nor berkata, anggota yang bertugas di Balai Polis Sungai Koyan menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 1.30 petang.

“Seorang lelaki dipercayai bapa mentua si mati telah datang ke Balai Polis Sungai Koyan untuk memaklumkan kejadian menantunya telah jatuh dari pokok. Namun, lokasi kejadian yang tepat belum diketahui dan anggota polis balai tersebut telah dibawa oleh bapa mentua si mati pergi melihat kawasan kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Azli, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Lipis dan akan dibedah siasat selepas mendapat keputusan saringan Covid-19 malam ini.

Sementara itu, bapa mentua mangsa yang juga Tok Batin Kampung Tual, Pos Sinderut, Yok Ek a/l Cantan, 64, berkata, si mati yang juga menantunya, Sahrin a/l Yok Sekop yang berusia 22 tahun bersama iparnya yang berusia 22 tahun keluar mencari madu lebah dengan menunggang motosikal kira-kira pukul 7 pagi hari ini.

Dia berkata, kejadian itu berlaku di Bukit Tujuh, Kechau yang merupakan tempat menantu dan penduduk di situ lazimnya mencari madu lebah memanjat pokok Tualang.

“Menantu saya (si mati) telah memanjat pokok Tualang setinggi kira-kira 30 meter untuk mendapatkan madu lebah yang menjadi mata pencariannya sebelum ini selain bekerja kampung.

“Saya tidak menyangka dia keluar rumah mencari madu lebah pada pagi  hari ini menempuh kemalangan jatuh daripada pokok” katanya di tempat menunggu Hospital Lipis hari ini.

Jelasnya, menantunya meninggalkan empat orang anak yang masih kecil dan dia akan membawa pulang mayat itu ke Kampung Tual selepas dibedahsiasat malam ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya