KOTA KINABALU: Hasrat seorang lelaki keluar untuk mengubati orang sakit tidak kesampaian apabila mangsa dilaporkan hilang di laut berhampiran perairan Pulau Buntal, Sandakan.
Dalam kejadian pada pagi Khamis lalu, mangsa dikenali sebagai Jamil Samson berusia 60-an difahamkan hilang semasa dalam perjalanan menaiki bot dari Kampung Semaian ke Pulau Buntal.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Laggung berkata, pihaknya menerima laporan mengenai orang hilang di perairan Pulau Buntal pada pukul 8.51 pagi semalam.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilakukan semalam tidak berjaya menemukan mangsa. Maka, operasi SAR hari kedua diteruskan bermula pada pukul 9 pagi tadi.
“Operasi SAR dilakukan dengan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, berdasarkan maklumat saksi, mangsa dikatakan keluar dari rumah pada Khamis dengan menggunakan sebuah bot untuk mengubati orang sakit di Pulau Puntal yang terletak kira-kira 15 minit menaiki bot dari tempat tinggal mangsa di Kampung Semaian.
Walau bagaimanapun, sejak keluar pada Khamis mangsa belum pulang sehingga semalam.
Jelas Jimmy, pengadu juga melaporkan bot mangsa ditemukan pada pukul 6 petang bersama kesan tompokan darah di dalam bot berkenaan. Namun, mangsa tidak berada di atas bot tersebut.- utusan










