Leaptec-Desan meterai MoU kerjasama bangunkan perniagaan perkapalan RM2b - Utusan Malaysia

Leaptec-Desan meterai MoU kerjasama bangunkan perniagaan perkapalan RM2b

DELEGASI Leaptec diketuai Pengarah Urusan Kumpulan LBS dan Leaptec, Datuk Wira Joey Lim Hock Guan, dan Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Ab Rauf Yusoh meninjau kawasan limbungan Desan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Leaptec Engineering Sdn. Bhd. (Leaptec), anak syarikat subsidiari LBS Bina Group Berhad (LBS) hari ini menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Desan Deniz Ins. San. A.S. (Desan), syarikat perniagaan perkapalan terkemuka yang berpangkalan di Istanbul, Turki.

Menerusi perjanjian tersebut, kedua-dua pihak menyasarkan untuk bekerjasama bagi meneroka potensi pelaksanaan pembinaan dan pembangunan perniagaan limbungan pembaikan kapal serta pembinaan kapal dalam tiga fasa dengan anggaran nilai projek melebihi RM2 bilion di Tanjung Bruas, Melaka.

Leaptec dan Desan juga akan meneroka pelbagai peluang kerjasama, antara lain, sokongan pihak berkaitan, subsidi serta kewangan jangka panjang yang kukuh.

Perjanjian tersebut berkuat kuasa pada 13 April 2023 selama 12 bulan, melainkan perjanjian tersebut diperbaharui dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Majlis menandatangani MoU ini diadakan di ibu pejabat Desan, Istanbul, Turki.

Pengarah Urusan Kumpulan LBS dan Leaptec, Datuk Wira Joey Lim Hock Guan menandatangani perjanjian bagi pihak Leaptec manakala Desan diwakili oleh Pengerusi, Cenk İsmail Kaptanoğlu.

DATUK Wira Joey Lim Hock Guan dan Cenk İsmail Kaptanoğlu (tiga dari kiri) di Majlis Menandatangani MoU, disaksikan oleh Ab Rauf Yusoh; Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul,  Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir (kiri) dan diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Leaptec, Datuk Mohd Anis Hisham  Abd Aziz, dan Hasan Özgür Çilli, Naib Pengerusi Limbungan Kapal Desan (dua dari kiri), di Ibu Pejabat Desan, Istanbul.

Majlis bersejarah tersebut turut disaksikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir; Ketua Pegawai Eksekutif Leaptec, Datuk Mohd Anis Hisham Bin Abd Aziz, dan Mantan Presiden BIMCO dan Ahli Lembaga Limbungan Kapal Desan, Dr. Şadan Kaptanoğlu serta Hasan Özgür Çilli, Naib Pengerusi Limbungan Kapal Desan.

Ditubuhkan pada 1970, Desan merupakan penyedia solusi limbungan kapal Turki terkenal yang terlibat dalam perniagaan pembinaan dan pembangunan limbungan, pembinaan, penyelenggaraan, serta pembaikan kapal, serta aktiviti-aktiviti berkaitan perkapalan.

Di bawah pimpinan generasi ketiga keluarga perkapalan Kaptanoglu, Desan telah mengembangkan empayar perniagaan pembaikan kapal, dan pembinaan kapal yang meliputi perniagaan luar pesisir, kapal tentera laut, semua jenis kapal tangki, pengangkut pukal, bot tunda dan kapal layar.

Pada tahun 2021, Leaptec telah menandatangani perjanjian reklamasi dan pembangunan dengan kerajaan negeri Melaka untuk membangunkan tanah seluas 1,200 ekar yang merupakan sebahagian daripada koridor ekonomi pesisir laut berimpak tinggi (M-WEZ) meliputi 25,000 ekar di sepanjang pantai negeri Melaka.

Pengerusi Eksekutif LBS dan Leaptec, Tan Sri Lim Hock San berkata: “Ini merupakan kolaborasi sulung bersama sebuah syarikat terkemuka Turki di dalam bidang perkapalan, Desan. Kami turut mempertimbangkan pelbagai rakan kongsi untuk bekerjasama dalam membangunkan projek penambakan Melaka dan berbesar hati untuk bekerjasama dengan Desan.

“Desan amat sinonim dengan sektor pembinaan perniagaan limbungan, pembinaan dan pembaikan kapal, penyelenggaraan, pemodenan, penukaran dan pengubahsuaian semua jenis kapal komersial serta kapal tentera laut. Justeru, kami optimis bahawa perjanjian perniagaan ini akan menjadi perintis ke arah memakmurkan lagi pertumbuhan industri yang sesuai untuk projek kami di Melaka”.

Mengenai LBS Bina Group Berhad

LBS Bina Group Berhad (LBS), pemaju perbandaran terkemuka di peringkat antarabangsa dengan visi untuk membina ruang inspirasi sempurna merupakan penyandang pelbagai anugerah menerusi projek pembangunannya. Dengan mengutamakan pembeli rumah, LBS telah membina dan membentuk landskap negara selama 30 tahun dan terus memenuhi permintaan pasaran bagi rumah berkualiti dan mampu milik. 

Kejayaan berterusan yang dilakar oleh LBS adalah hasil kepimpinan Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San yang turut dianugerahkan dengan pingat emas sebagai Property Man of the year by Malaysia Property Award (FIABCI) pada tahun 2018 yang merupakan Anugerah ‘Oscar’ dalam industri hartanah. Ketabahan dan kegigihan Tan Sri Lim di dalam mengatasi cabaran industri, serta kepimpinan yang cemerlang dengan pengetahuan ilmu industri hartanah yang unggul di samping nilai integriti dan tanggungjawab menjadi tonggak kepada penerimaan anugerah ini.

Kini, dengan bank tanah di seluruh Malaysia, LBS terus meraih kejayaan dan kekal kukuh dengan kejayaan perbandaran seperti Bandar Saujana Putra, KITA @ Cybersouth di Dengkil, LBS Alam Perdana di Bandar Puncak Alam dan lain-lain lagi. Selain daripada pembangunan hartanah, LBS turut terlibat di dalam pengurusan runcit, perhotelan dan pelancongan.

Untuk keterangan lanjut, layari https://lbs.com.my/.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya