Pisang dijangkiti penyakit, pekebun rugi

Pisang dijangkiti penyakit, pekebun rugi

AMRI Deraman (kanan) dan Ab. Jalal Kasim menunjukkan akar dan hasil buah pisang selepas dijangkiti penyakit ketika ditemui di kebun di Astana Raja, Kota, di Rembau baru-baru ini.-UTUSAN / NOR SHAFIQAH MOHD GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Seorang pekebun pisang di Astana Raja, Kota di sini menanggung kerugian lebih RM50,000 selepas lebih 3,000 batang pokok pisang di dua kebunnya diserang penyakit.

Pengusaha tanaman pisang, Amri Deraman, 61, berkata, penyakit itu dipercayai berpunca daripada jangkitan kulat dan bakteria yang menyerang sistem akar tanaman berkenaan.

Menurutnya, tanda awal serangan dapat dikesan apabila daun pokok bertukar kekuningan sebelum layu dan mati.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada mulanya daun menjadi kuning sedikit demi sedikit, kemudian pokok layu dan akhirnya mati. Saya ada menggunakan racun kulat, tetapi ia hanya mampu melambatkan kerosakan.

“Kerugian yang saya tanggung dianggarkan melebihi RM50,000 membabitkan kira-kira 3,000 pokok di dua buah kebun,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Astana Raja, Kota baru-baru ini.

Amri berkata, dia mengusahakan empat kebun pisang seluas kira-kira 4.5 hektar dan hampir dua hektar daripadanya terjejas akibat serangan penyakit tersebut.

Katanya, penyakit itu turut menjejaskan kualiti buah apabila ada yang tidak membesar, tidak berisi dan busuk sehingga tidak dapat dipasarkan.

“Saya membekalkan pisang kepada empat peniaga selain menjual sendiri hasil tanaman. Apabila hasil berkurangan, bekalan turut terjejas dan saya juga terpaksa menutup kedai pisang sendiri,” katanya.

Sementara itu, wakil pekebun daerah Rembau, Ab. Jalal Kasim, 63 ,berkata, masalah penyakit pisang bukan perkara baharu dan hampir semua pengusaha tanaman itu di kawasan ini pernah berdepan situasi sama.

Menurutnya, penyakit tersebut lazimnya merebak melalui air terutama di kawasan yang mempunyai sistem saliran kurang baik.

“Jika pokok yang dijangkiti tidak dimusnahkan segera, penyakit itu boleh merebak ke seluruh kebun dan menyebabkan kerosakan lebih besar. Serangan pada sistem akar menyebabkan pokok mati dan sukar dipulihkan,” katanya.

Ab.Jalal berkata, dalam keadaan tertentu, ada segelintir pengusaha terpaksa meninggalkan kawasan tanaman atau beralih kepada tanaman lain kerana tanah yang dijangkiti sukar dipulihkan dalam tempoh singkat.

Sehubungan itu, dia berharap lebih banyak program bimbingan serta khidmat nasihat oleh agensi berkaitan dapat diberikan kepada pekebun bagi meningkatkan langkah pencegahan penyakit dan pengurusan kebun yang lebih berkesan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini