KUCHING: Hasrat untuk Sarawak memiliki syarikat penerbangan sendiri kini disokong dan dipersetujui Perdana Menteri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan perkara tersebut akan dibawa dalam mesyuarat jemaah menteri pada Rabu ini.
“Saya setuju dan Rabu nanti antara hal yang akan dibincangkan dalam mesyuarat jemaah menteri adalah berhubungkait hasrat Sarawak memiliki syarikat penerbangan sendiri.
“Saya berdialog dengan mahasiswa di uitm shah alam baru-baru ini, itu juga yg diutarakan terutama dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak. Kita bersetuju bahawa kos terlalu tinggi dan untuk meredakan nanti, ada lah di antara hal-hal yg akan saya umumkan kelak Insya-Allah,” katanya dalam ucapan pada Majlis Berbuka Puasa bersama Asnaf dan Anak Yatim di Kuching hari ini.
“Pada dasarnya saya rasa tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh bersetuju kerana sudah dibuktikan dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke telah buat beberapa rundingan dengan syarikat-syarikat penerbangan minta dikurangkan kos dan dalam semangat perpaduan dan semangat hubungan persekutuan dgn negeri, iaitu di antara yg mendesak adalah hubungan di antara rakyat dengan kos yg begitu meningkat tidak mungkin perkara ini tercapai dengan memuaskan.
“Justeru, jangan bimbang Premier, hari Rabu petang kita akan beri jawapan rasmi oleh saya sebagai pengerusi mesyuarat Jemaah Menteri dan beri laluan dan insyallah rakan-rakan akan bersetuju dengan mudah,” jelasnya lagi.
Pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12), Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu berkata kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk menubuhkan syarikat penerbangan butik tersendiri di bawah Hornbill Skyways.
Kemudahan itu katanya akan membantu meningkatkan jaringan perhubungan udara yang strategik serta melonjakkan kemasukan pelancong dari Kuala Lumpur, Singapura, Bangkok dan Hong Kong.-utusan










