KPDN Perlis rampas 26,000 liter diesel diseleweng bernilai RM55,900 - Utusan Malaysia

KPDN Perlis rampas 26,000 liter diesel diseleweng bernilai RM55,900

FARAH Adlina Ropaie (kanan) meninjau tangki-tangki simpanan minyak diesel di sebuah premis menerusi Ops Tiris yang dilaksanakan sekitar kawasan perindustrian Padang Besar, Perlis, semalam.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri mematahkan aktiviti penyelewengan minyak diesel tanpa subsidi dengan merampas sebanyak 26,000 liter bahan bakar itu menerusi Ops Tiris yang dilaksanakan di sebuah premis sekitar kawasan perindustrian di sini, semalam.

Operasi bersepadu yang dilaksanakan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada pukul 1 petang itu dijalankan hasil daripada risikan selepas pihak berkuasa menerima aduan daripada orang awam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN negeri, Farah Adlina Ropaie berkata, hasil pemeriksaan, premis pemborong minyak diesel itu didapati gagal menyelenggara buku stok barangan kawalan (minyak diesel) dengan sebaiknya malah bekalan bahan bakar itu juga dipercayai diperolehi daripada sumber meragukan.

“Semakan ke atas buku stok juga mendapati pemborong tersebut dipercayai menjual minyak diesel berkenaan kepada kenderaan bernombor pendaftaran Thailand.

“Susulan itu, sebanyak 26,000 liter minyak diesel dan dokumen-dokumen berkaitan disita untuk disiasat dengan anggaran rampasan berjumlah RM55,900,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Farah Adlina berkata, berdasarkan siasatan dijalankan juga mendapati pemborong minyak diesel terbabit memperolehi bekalan daripada pemborong lain di Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Katanya, setiap pemborong berlesen yang berurusan dengan barangan kawalan diwajibkan untuk menyelenggara buku stok dan kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Aktiviti di premis ini dipercayai telah beroperasi sejak setahun lalu dan tindakan telah diambil untuk disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Farah Adlina berkata, KPDN telah menjalankan siasatan ke atas tujuh kes menerusi Ops Tiris bagi tempoh sejak 1 Mac lalu membabitkan nilai rampasan berjumlah RM166,602.

Menurutnya, daripada jumlah kes tersebut, sebanyak tujuh suspek turut ditahan di mana enam daripadanya merupakan warga tempatan manakala seorang lagi adalah warga Thailand.

“KPDN memberi amaran keras terhadap mana-mana pihak agar dapat mematuhi undang-undang ditetapkan malah kami juga tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti penyelewengan barangan kawalan,” katanya.

Tambahnya, mana-mana pihak yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan disiasat mengikut Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2011.

“Oleh itu, orang awam disaran agar dapat menjadi mata dan telinga buat pihak berkuasa dengan menyalurkan sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya