KUALA LUMPUR: Kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) kekal positif dengan aset berjumlah RM90.92 bilion melebihi liabiliti.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, simpanan pendeposit berjumlah RM87.60 bilion merupakan komponen terbesar liabiliti TH.
Beliau berkata, dari segi aset, pendapatan tetap atau sukuk merekodkan peratusan tertinggi iaitu 60 peratus, diikuti ekuiti sebanyak 22 peratus, hartanah (9.0 peratus), pasaran wang Islam (8.0 peratus) dan lain-lain (satu peratus).
Kata beliau, pelaburan TH bagi suku pertama tahun ini mencatatkan peningkatan namun, ia tetap bergantung kepada baki sembilan bulan akan datang.
“Seperti institusi kewangan lain, TH juga tidak dapat lari daripada keadaan ekonomi, keadaan pasaran modal tempatan dan antarabangsa,” katanya dalam sidang akhbar Pengumuman Agihan Keuntungan Tabung Haji 2022, di sini semalam.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Naim Mokhtar dan Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, TH mengumumkan agihan keuntungan sebanyak 3.10 peratus, sama seperti 2021, berjumlah RM2.65 bilion, yang bakal dimanfaatkan kira-kira 8.7 juta pendepositnya.
Mohd. Naim yang mengumumkan agihan keuntungan itu berkata, meskipun berhadapan persekitaran ekonomi yang mencabar, TH terus mengekalkan pendapatan kasar sebanyak RM3.85 bilion bagi tahun 2022 berbanding RM3.72 bilion tahun sebelumya.
Beliau berkata, agihan keuntungan itu adalah kompetitif, mengambil kira faktor kadarnya lebih tinggi daripada purata kadar deposit tetap perbankan Islam bagi tempoh 12 bulan, iaitu 2.34 peratus dan zakat sudah dilunaskan bagi pihak pendeposit.
“Agihan keuntungan 2022 adalah selepas TH melunaskan zakat sebanyak RM97 juta kepada semua majlis agama Islam negeri bagi pihak pendeposit dan sehingga kini TH telah melunaskan bayaran zakat berjumlah RM1.27 bilion.
“Jumlah agihan sebanyak RM2.65 bilion bagi tahun kewangan 2022 lebih tinggi 7.0 peratus berbanding 2021 iaitu RM2.46 bilion, walaupun kadar dividen kekal sama dengan 3.1 peratus,” katanya.
Beliau berkata, TH sudah mengambil pendekatan pelaburan yang lebih berhati-hati berlandaskan alokasi aset strategik untuk menghadapi persekitaran yang tidak menentu.
Sementara itu, Amrin berkata, tanggungjawab TH amat kritikal di mana ia melaksanakan dua peranan setiap tahun iaitu menguruskan Haji dan membayar agihan keuntungan.
“Kalau kita tengok penyata kewangan TH, kita pun tahu kita bukannya permodalan, kita adalah tabung iaitu simpanan untuk membiayai haji.
“Kita juga tidak mampu untuk merangkumi pelaburan yang berisiko tinggi dan berjangka masa panjang dari segi pulangan kerana setiap tahun kita perlu beri pulangan dan membiayai haji,” katanya.
Mengulas prestasi kewangan 2022, Amrin berkata, persekitaran pelaburan tahun lalu amat mencabar bagi semua institusi pelaburan, termasuk TH.
Katanya, pasaran saham domestik dan global terjejas melebihi 10 peratus, manakala pasaran modal pula terkesan dengan kenaikan agresif kadar pembiayaan.
“TH telah mengambil langkah meminimumkan risiko supaya modal pelaburan terpelihara serta tidak terlalu terjejas dan kami akan terus berusaha untuk mengukuhkan lagi operasi, tadbir urus dan kedudukan kewangan dalam persekitaran ekonomi dan pasaran yang tidak menentu ini.
“Pelaburan instrumen pendapatan tetap dan ekuiti telah menyokong ketahanan pendapatan pada tahun 2022 dengan menyumbang 81 peratus daripada jumlah pendapatan keseluruhan. Baki pendapatan sebanyak 19 peratus dijana daripada pelaburan harta tanah dan pasaran wang patuh syariah,” katanya. – UTUSAN









