Kerjasama kerajaan Kedah perlu untuk jayakan LIMA’ 23 - Adly

Kerjasama kerajaan Kedah perlu untuk jayakan LIMA’ 23 – Adly

ADLY Zahari (tengah) melawat Masrizal Ishak yang terlantar kerana menghidap penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE) ketika PPV peringkat Negeri Kedah di Hutan Kampung, Alor Setar. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kementerian Pertahanan menegaskan tiada sebarang larangan untuk Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyertai Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23), Mei ini.

Timbalan Menterinya, Adly Zahari berkata, kejayaan acara yang dijangkakan terbesar dalam sejarahnya itu juga bergantung kepada kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

“Kita di peringkat kementerian, dasar kita mudah bahawa kalau nak menjayakan LIMA’23 perlu ada kerjasama Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

“Saya tak tahu maklumat beliau (dihalang hadir LIMA’23) tetapi maklumat yang saya tahu beliau memang dijemput dalam pelancaran LIMA’23 di Kuala Lumpur tempoh hari dan beliau hadir,” katanya selepas menziarahi veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Masrizal Ishak, 42, di Kampung Masjid Hujung, di sini.

Terdahulu di bawah Program Peduli Veteran (PPV) itu, beliau turut menziarah dua veteran ATM lain, Azizan Hashim, 71, yang terlantar akibat penyakit saraf dan Ku Issamuddin Ku Saad, 65, yang menghidap penyakit strok.

Akhbar ini baru-baru ini melaporkan, Muhammad Sanusi mendakwa beliau dilarang menyertai sebarang majlis anjuran Kerajaan Persekutuan termasuk menghadiri LIMA’ 23.

Adly menegaskan, tidak ada sebarang pekeliling seperti didakwa Menteri Besar berkenaan sehingga kini yang kononnya menghalang beliau menghadiri acara tersebut.

“Seperti mana yang disebut oleh Timbalan Perdana Menteri bahawa kita akan terus beri kerjasama dan kita tak lihat apa-apa pekeliling untuk halang beliau. Dasar kita jelas bahawa kerjasama Persekutuan dan negeri penting untuk menjayakan LIMA’ 23.

“Pelancaran di Kuala Lumpur itu adalah program pertama LIMA’ 23 dan belum ada program lain dan yang kedepan ini semua pihak dijemput untuk sertai LIMA’ 23 ini dan tidak timbul soal siapa yang diasingkan dan sebagainya,” jelasnya.

Mengulas lanjut kata beliau, Kementerian Pertahanan amat menghargai komitmen yang dinyatakan Muhammad Sanusi untuk memastikan acara berkenaan berjalan lancar kelak.

“Kita buat LIMA’ 23 untuk rakyat Kedah juga, sebab itu saya menghargai apa yang disebut Menteri Besar yang akan memberikan kerjasama. Saya fikir LIMA’ 23 kali ini antara terbesar dan rakyat Kedah khususnya Langkawi itu akan dapat manfaat terbaik,” jelasnya.  

Katanya, perkara itu juga adalah komitmen Kerajaan Persekutuan untuk membantu meningkatkan ekonomi penduduk di Kedah.

“Saya minta kalau boleh Kerajaan Persekutuan tidak digambarkan sebagai tidak adil, jahat dan sebagainya kerana itu tidak adil di peringkat Kerajaan Persekutuan kerana ketika pelancaran LIMA’ 23 kita jemput dan beliau hadir,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya