Kerjasama JIM-SPRM tahan atase Imigresen di Bangladesh

Kerjasama JIM-SPRM tahan atase Imigresen di Bangladesh

RUSLIN JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penahanan pegawai Imigresen yang bertugas sebagai atase di Bangladesh oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 17 April lalu adalah hasil perkongsian maklumat secara strategik antara kedua-dua agensi berkenaan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, ini susulan pihaknya mengesan terdapat dakwaan atase berkenaan menerima rasuah melibatkan pengeluaran visa luar negara kepada rakyat negara tersebut untuk memasuki Malaysia.

Ekoran itu, kata beliau, JIM mengarahkan kedua-dua mereka kembali ke Malaysia untuk membantu siasatan.

“Hasil maklumat tersebut disalurkan kepada SPRM untuk tindakan dan siasatan sehingga berlaku penahanan dua pegawai tersebut.

“JIM menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk melakukan siasatan dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya dengan telus dan adil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ruslin menegagkan, jabatan itu tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawainya yang melakukan pelanggaran integriti sehingga mencemarkan imej jabatan dan menggugat keselamatan serta kedaulatan negara.

Jelasnya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai yang terbukti melakukan kesalahan ini.

“Kerjasama strategik bersama SPRM juga akan diteruskan bagi memastikan jabatan ini sentiasa telus dalam menangani sebarang unsur rasuah serta amalan tidak berintegriti,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, SPRM menahan dua pegawai agensi penguat kuasa yang bertugas di Kedutaan Malaysia di Bangladesh kerana disyaki menerima wang rasuah bagi pengeluaran Visa Luar Negara dan kemasukan pelancong serta pekerja Bangladesh ke negara ini.

Dua pegawai terbabit masing-masing lelaki dan wanita direman selama tiga hari bermula kelmarin sehingga hari ini selepas Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin mengeluarkan perintah reman itu di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Selasa lalu.

Menurut sumber, SPRM mengesan beberapa transaksi kemasukan wang mencurigakan ke dalam akaun bank kedua-dua suspek dan mereka sudah diarahkan pulang ke Malaysia untuk membantu siasatan kes terbabit.

Katanya, lebih 20 akaun bank membabitkan individu dan syarikat berkaitan sudah diambil tindakan pembekuan. Sehingga hari ini, pembekuan akaun dan penyitaan harta alih dan tak alih membabitkan penyitaan lapan bidang tanah dianggarkan berjumlah kira-kira RM3.1 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.