Mahasiswa tanya isu mafia korporat, SPRM nasihat tapis laporan media luar

Mahasiswa tanya isu mafia korporat, SPRM nasihat tapis laporan media luar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Mahasiswa tidak seharusnya mudah terpengaruh dengan laporan media luar negara tanpa menilai kesahihan dan konteks sebenar sesuatu isu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, setiap maklumat perlu diteliti dengan berhati-hati menggunakan pemikiran kritikal sebelum membuat sebarang kesimpulan.

Katanya, perkara paling penting adalah memastikan fakta sesuatu laporan itu benar dan diperoleh daripada sumber boleh dipercayai.

“Sebagai pelajar universiti, tidak sepatutnya terpedaya dengan informasi yang tersebar luas tanpa sebarang tapisan. Pastikan maklumat diperolehi adalah tepat.

“Dengan pelbagai maklumat yang diperolehi itu, kamu boleh buat analisis sendiri menggunakan pemikiran kritikal bagi menentukan apa yang sebenarnya betul,” katanya.

Beliau menjawab persoalan mahasiswa mengenai isu kontroversi korporat mafia membabitkan SPRM ketika sesi dialog awam di Karnival Integriti dan Antirasuah 2026 di Dewan Canselor Universiti Multimedia Malaysia (MMU) di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Azmi berkata, kes itu adalah kes lama yang masih dalam siasatan SPRM dan Polis Diraja Malaysia (SPRM).

“Bukan kita tolak isu ini, namun ia kes lama yang masih dalam siasatan dan sudah ada tangkapan dibuat.

“Jika mahu menjawab persoalan itu (berkaitan korporat mafia), kenapa mereka (yang terbabit dalam kes berkenaan) lari? Baliklah semula ke Malaysia jika berani,” katanya.

Sebelum ini, PDRM akan menggunakan semua instrumen perundangan termasuk mengekstradisi mana-mana individu bagi membantu siasatan dakwaan mafia korporat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan dijalankan di bawah jenayah serta pengubahan wang haram dengan proses itu masih berjalan.

Pada 18 Mac lalu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, ahli perniagaan, Victor Chin yang didakwa terbabit kini berada di luar negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN