Kerajaan Melaka wajibkan mula mesyuarat dengan al-Fatihah

Kerajaan Negeri Melaka wajibkan mula mesyuarat dengan al-Fatihah

AB. RAUF YUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Setiap jabatan dan agensi di bawah kerajaan negeri diwajibkan melaksanakan empat perkara berkuasakuasa hari ini antaranya memulakan setiap mesyuarat dengan bacaan surah al-Fatihah.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, ia selari dengan penghayatan nilai-nilai Islam dalam perkhidmatan awam selain memupuk rasa kecintaan kepada agama, bangsa dan negara.

Beliau berkata, jabatan dan agensi kerajaan negeri juga diwajibkan memperdengarkan bacaan surah al-Fatihah pada pukul 8 pagi, setiap hari bekerja iaitu dari Isnin hingga Jumaat.

“Ketika mengadakan perjumpaan pertama saya bersama pegawai-pegawai kanan pentadbiran kerajaan negeri semalam, saya telah menggariskan beberapa perkara termasuk pendekatan baharu yang wajar dipraktikkan bagi melancarkan lagi pentadbiran ini.

“Selain itu, jabatan dan agensi kerajaan negeri juga wajib memperdengarkan nyanyian lagu Negaraku dan Melaka Maju Jaya pada pukul 10.00 pagi setiap hari Isnin. Semua kakitangan diarahkan untuk berdiri hormat ketika lagu tersebut dimainkan.

“Telefon bimbit adalah dilarang dibawa masuk ke dalam mesyuarat terutama membabitkan mesyuarat yang bertaraf rahsia dan sulit yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Melaka. Ketetapan ini dibuat bagi memastikan kerahsiaan maklumat kerajaan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara.

Sebelum ini, Ab. Rauf mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13 di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka, Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, kira-kira pukul 3.33 petang, Jumaat lalu.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia dilakukan di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam di Dewan Seri Utama.

Ab. Rauf, 61, sebelum ini berkhidmat sebagai Pengerusi Kanan Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Koperasi dan Usahawan Melaka dicalonkan UMNO bagi menggantikan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang melepaskan jawatannya berikutan masalah kesihatan.

Beliau turut menjawat jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka dan Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya