PRN Johor: Parti Kancil tak relevan, sokong solid kepada PH - Tian Chua

PRN Johor: Parti Kancil tak relevan, sokong solid kepada PH – Tian Chua

TIAN CHUA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Kancil pimpinan Datuk Seri Rafizi Ramli disifatkan tidak memberi apa-apa kesan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebaliknya semua pihak perlu memberikan konsentrasi dan meningkatkan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH).

Menurut bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua, tumpuan pengundi seharusnya diberikan kepada memperkukuhkan sokongan kepada PH) bagi memastikan wujud keseimbangan kuasa dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Katanya, walaupun PH berada dalam Kerajaan Persekutuan bersama Barisan Nasional (BN), peranan gabungan itu di peringkat negeri tetap penting sebagai mekanisme semak dan imbang.

“Yang kita telah capai dalam perjuangan reformasi ini ialah di semua arena politik mesti ada keseimbangan kuasa.

“Di mana-mana pun sekiranya satu kerajaan itu dimonopoli oleh mana-mana parti, ia akan membawa kesan yang buruk kerana mungkin tidak ada check and balance dalam sistem pentadbiran.

“Jadi saya menyeru supaya semua pengundi pulang dan memberikan sokongan padu kepada Pakatan Harapan,” katanya.

Mengulas dakwaan kononnya berlaku gerakan memboikot PRN dalam kalangan pengundi Cina, Tian Chua berkata, beliau tidak melihat perkara itu sebagai satu isu.

Sebaliknya, katanya, keadaan itu mungkin berpunca daripada kurangnya motivasi kerana pilihan raya hanya melibatkan sebuah negeri selain faktor kesibukan kerja.

“Saya rasa isu boikot tidak wujud. Cuma mungkin kurang motivasi sebab ini hanya pilihan raya negeri dan ada yang merasakan kerja lebih penting daripada mengambil cuti untuk balik mengundi.

“Tapi saya rasa ini bukan perkara yang harus kita abaikan kerana akhirnya kesan daripada PRN ini akan ditanggung oleh pengundi sendiri.

“Jadi saya rasa kita perlu ketepikan emosi dan alasan kesibukan serta membuat perancangan untuk kembali mengundi,” katanya.

Beliau turut menegaskan PH bukan parti yang memperjuangkan kepentingan sesuatu kaum semata-mata, sebaliknya berperanan memastikan keseimbangan kuasa demi manfaat semua rakyat.

“PH bukan untuk orang bukan Melayu sahaja, tetapi untuk semua.

“Kita memainkan peranan mengimbangkan kuasa bukan atas kepentingan orang bukan Melayu, tetapi untuk semua kaum.

“Saya percaya masyarakat Cina dan India menghargai perkara ini dan mereka lebih selesa hidup dalam suasana semua kaum dapat menikmati keamanan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN