KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan bahawa peningkatan jumlah kes Covid-19 yang berlaku dalam negara beberapa minggu kebelakangan ini bagaimanapun masih terkawal dan tidak membimbangkan.
Menurut Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa, kes kematian yang membabitkan wabak tersebut juga mencatatkan jumlah yang rendah dengan membabitkan golongan warga emas yang memiliki penyakit kritikal seperti kencing manis dan sebagainya.
“Memang beberapa minggu ini ada peningkatan dari segi jumlah kes Covid. Tetapi ia masih terkawal. Kematian juga masih rendah dan kita dapati kes membabitkan warga emas yang berpenyakit kritikal.
“Tentang varian Covid, kita dapati ia masih Omicron. Walaupun penyebarannya cepat, tetapi ia masih terkawal dan simptom itu masih tidak teruk dan tidak membimbangkan,” katanya.
Zaliha berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis TownHall Zon Tengah Kertas Putih Kesihatan di Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia, di sini hari ini.
Turut hadir ialah, Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan & Sokongan Teknikal), Datuk Dr. Muhammad Radzi; Ahli Majlis Penasihat HWP, Prof. Datuk Dr. Syed Mohamed Al-Junid dan Dr. Kor Kar Chai.
Bagaimanapun, menurut Zaliha, meskipun keadaan tidak membimbangkan, kementerian tetap menggalakkan orang ramai untuk mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelak daripada dijangkiti terutama di musim perayaan ini.
“Ia termasuk menerusi langkah memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam atau ketika berhari raya nanti. Selain itu, boleh juga melakukan ujian kendiri sekiranya memiliki gejala,” katanya.
Sementara itu, Zaliha turut mengulas mengenai tindakan kementerian untuk melanjutkan konsensus bagi penyediaan ubat-ubatan dan bekalan perubatan untuk kemudahannya daripada syarikat Pharmaniaga Bhd..
Jelasnya, tempoh itu akan dilanjutkan selama 10 tahun lagi sebaik tempoh interim berakhir pada Jun, tahun ini.
“Kami bekerjasama rapat dengan Pharmaniaga, bukan sebagai syarikat berkaitan kerajaan di bawah kerajaan tetapi sebagai sistem yang telah digunakan sejak sekian lama dari segi urusan logistik.
“Jadi kita memerlukan mereka dan menjadi tanggungjawab kita untuk meneruskan kerjasama ini sebagai GLC di bawah kerajaan,” katanya.
Selain itu, diminta untuk mengulas mengenai lantikan baharu seramai lebih 4,000 pegawai perubatan kontrak ke jawatan tetap semalam, Zaliha berkata, kementerian sedang melaksanakan insiatif untuk membantu pegawai perubatan.
“Seperti yang telah dinyatakan oleh kerajaan baru-baru ini, kita telah letakkan sasaran sebanyak 12,800 kontrak doktor untuk kita serap ke jawatan tetap dalam masa tiga tahun.
“Pada tahun ini kita sasarkan 4263 jumlah pegawai perubatan kontrak yang kita akan serap penempatan tetap. Insya-Allah memang kita sedang laksanakan.
“KKM akan cuba sebaik mungkin untuk bantu doktor atau pegawai perubatan menerusi skim-skim lain,” katanya. – UTUSAN










