Kembalikan tanah rizab Melayu dipindah milik secara salah

Kembalikan tanah rizab Melayu dipindah milik secara salah

MUSA Hassan dan Hishamuddin Hashim menunjukkan pelan tanah rizab melayu yang dipindah milik hak milik secara salah di Jabatan Audit Negara, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa Ketua Audit Negara supaya memberi syor dan saranan kepada Pendaftar Pejabat Negeri Perak supaya mengembalikan tanah rizab Melayu yang dipindah milik kepada orang bukan Melayu.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishammuddin Hashim berkata, pihaknya berpandangan berdasarkan undang-undang sedia ada, tidak mustahil bagi tanah-tanah rizab Melayu yang dipindah milik secara salah dan berlaku kesilapan dikembalikan kepada status quo.

Jelasnya, prosedur undang-undang yang boleh diguna pakai adalah membabitkan Seksyen 380 Kanun Tanah Negara 1965 berkaitan pembetulan kesilapan dalam dokumen hak milik dan Seksyen 417 akta sama dengan menggunakan autoriti am mahkamah.

“Kita hadir untuk menyerahkan surat kepada Ketua Audit Negara supaya beliau dapat mengeluarkan satu saranan lebih konkrit kerana saranan yang dikeluarkan Ketua Audit Negara pada tahun 2019 (Siri 2) berhubung dengan tanah rizab Melayu di Perak adalah tidak memadai.

“Saranan baharu ini bukan sahaja menambah baik sistem, tetapi mengembalikan semula tanah yang dipindah milik secara salah kepada pihak yang bersesuaian,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan Jabatan Audit Negara di sini hari ini.

Bagaimanapun usaha Hishammuddin bersama Penasihat MHO, Tan Sri Musa Hassan untuk menyerahkan surat berkenaan kepada wakil Jabatan Audit Negara tidak berhasil.

Mengulas lanjut, beliau turut menyatakan tanah yang berstatus tanah rizab Melayu itu semakin berkurangan selain dinyatakan dalam laporan tersebut selepas diaudit bahawa pengurusan tanah rizab Melayu di negeri berkenaan adalah kurang cekap dan berkesan.

“Selain itu, pewartaan tanah rizab Melayu juga mengambil masa yang lama untuk disempurnakan, pengisytiharan tidak menepati syarat dan pemberi milikan juga didapati tidak teratur.

“Kesilapan tindakan pembetulan yang diambil oleh PTG (Pejabat Tanah dan Galian) didapati membenarkan berlakunya pindah milik kepada bukan Melayu walaupun bertentangan dengan Enakmen Negeri-Negeri Melayu Bersekutu Bab 142.

“Pencerobohan tanah rizab Melayu juga berlaku berikutan kelemahan tindakan penguatkuasaan dan mengakibatkan kerugian kepada kerajaan negeri,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya