MARANG: Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun di sini terpaksa membesar tanpa kedua-dua cuping telinga dan perlu sentiasa berulang-alik ke hospital dapatkan rawatan susulan serta pemantauan.
Ahmad Shaheer Rafael Mohd. Sabri dari Kampung Titian Rawa, Bukit Payung di sini yang dilahirkan secara pembedahan turut mengalami masalah pada lelangit, hujung tulang belakang dan jantung berlubang.
Menurut ayahnya, Mohd. Sabri Samsudin, 38, cahaya mata pertama yang dinantikan bersama isteri, Roslina Mohd. Zin, 34, selama sembilan tahun itu juga perlu bergantung kepada susu khas setiap hari.
“Walaupun pada mulanya terkejut melihat anak tiada cuping telinga, namun saya reda dengan ketentuan-Nya dan anggap semua ini anugerah. Hanya Allah SWT yang tahu rasa gembira bergelar bapa setelah lama menunggu.
“Doktor turut maklumkan anak saya juga alami beberapa masalah lain lagi sehinggakan peringkat awal dahulu tidak dapat minum susu kerana lidah pendek serta masalah pada lelangit.
“Sewaktu dilahirkan beratnya 2.9 kilogram dan alami masalah pernafasan, sekarang ini beratnya kira-kira 6 kilogram. Walaupun tidak dapat bercakap tetapi dia boleh bersuara merengek atau menangis,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.
Tambah Mohd. Sabri yang bekerja kampung, anaknya perlu berulang-alik ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) , Kuala Terengganu mengikut janji temu bagi dapatkan rawatan susulan dan pemantauan berterusan.
“Selain HSNZ, bagi pemeriksaan telinga saya perlu bawanya ke Hospital Kemaman. Setakat ini, belum dapat dipastikan lagi dia dapat mendengar atau tidak nanti walaupun tiada cuping telinga.
“Masalah jantung berlubang kian pulih dan bagi masalah hujung tulang belakang mungkin perlu lakukan pembedahan namun belum pasti. Sebagai bapa tentunya saya harapkan yang terbaik untuk anak saya itu,” ujarnya.
Selain itu, Mohd. Sabri memberitahu, dia terpaksa menyediakan kira-kira RM1,000 sebulan bagi pembelian susu khas serta rawatan anaknya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi talian 019-9868214 atau salurkan wang melalui akaun Maybank milik Roslina Mohd. Zin bernombor 163046263680. –UTUSAN










