PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan produk makanan jenama Hershey yang dikilangkan di Malaysia oleh Hershey Malaysia Sdn. Bhd. mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang masih sah sehingga ke hari ini.
Jakim dalam satu kenyataan memaklumkan, produk jenama itu turut disahkan halal oleh Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) Kementerian Agama Republik Indonesia.
Katanya, BPJPH adalah Badan Pensijilan Halal Luar Negara yang diiktiraf Jakim di negara berkenaan.
“Maklumat lanjut mengenai status halal produk berkenaan boleh disemak menerusi https://www.halal.gov.my/v4/directory/slm_viewdetail.php?comp_code=COMP-20140512-200955&type=C&ty=CO.
“Semakan turut boleh dibuat menerusi pautan https://bpjph.halal.go.id/search/sertifikat?nama_produk=Hershey&nama_pelaku_usaha=&no_sertifikat=&page=1,” katanya.
Katanya, pihaknya sedia maklum mengenai gambar dan video tular melibatkan produk Hershey dari luar negara menerusi laman sosial baru-baru ini.
Jakim berkata, pihaknya mendapati produk Hershey yang tular itu tidak memegang mana-mana pengesahan halal dari badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf Jakim.
Menurutnya, perlu diketahui bahawa pengurusan dan penggunaan bahan mentah adalah berbeza ikut negara, justeru utamakanlah produk yang memiliki SPHM atau pengesahan halal dari mana-mana badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf Jakim.
“Untuk mengetahui senarai badan-badan pensijilan atau logo-logo halal luar negara yang diiktiraf Jakim boleh layari https://www.halal.gov.my/v4/ckfinder/userfiles/files/cb2/CBLIST17March2023.pdf,” katanya. – UTUSAN