NEW YORK: Selepas 8 tahun bersiaran, program televisyen The Late Late Show With James Corden akhirnya menutup tirai menerusi episod akhir yang ditayangkan semalam.
Hos, James Corden membuat kemunculan akhir dalam program tersebut disertai rakan selebriti termasuk penyanyi terkenal, Harry Styles dan pelakon, Will Ferrell.
Terdahulu, Corden sempat menghoskan edisi istimewa yang menayangkan segmen-segmen yang dirakam awal termasuk segmen akhir Carpool Karaoke bersama penyanyi, Adele.
Edisi tersebut turut menampilkan pelakon, Tom Cruise yang muncul dalam segmen live musical theater.
Episod akhir program berkenaan turut dihadiri ibu bapa Corden yang duduk di kerusi penonton.
Bercakap kepada ET, Corden menjelaskan sebab beliau perlu melunaskan episod akhir program tersebut.
“Saya merasakan program ini tidak akan berakhir kalau saya tidak menoktahkannya sekarang,” katanya.
Maklum Corden, beliau selepas ini akan berpindah ke London dan menetap di sana bersama isteri serta tiga anaknya.